• Nik Mahidin Nik Mustapha Nik Mahidin Nik Mustapha
1 / 1
KOTA BHARU - Peluang penyatuan antara Pas dan Umno masih terbuka jika gagasan pemikiran rakyat di Kelantan yang taksub dengan politik boleh diubah.

Bekas Setiausaha Kerja Umno Kelantan, Datuk Nik Mahidin Nik Mustapha berkata, ketaksuban terlalu menebal dalam jiwa rakyat Kelantan itulah yang perlu dikikis supaya mereka dapat melihat kebaikan perpaduan yang mahu diwujudkan antara kedua-dua parti itu di negeri ini.

Sebagai orang politik yang berpengalaman lama di dalam parti Nik Mahidin menyuarakan pandangan peribadinya bahawa beliau sudah lama mahukan penyatuan itu sebagaimana disuarakan oleh Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nik Mahidin berkata, dalam tempoh sekarang ini semua dapat menilai sejauh mana pemimpin antara kedua-dua parti boleh menerima cadangan terbabit dan peluang untuk merealisasikan demi kebaikan bersama.

“Budaya politik di Kelantan ini unik, 24 jam berpolitik sama ada dari soal agama, arahan mengagihkan bekalan kepada mangsa banjir dan segala-galanya lebih kepada parti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau tidak menyalahkan rakyat yang terlalu berpegang pada satu-satu parti politik tetapi baginya rakyatlah yang menjadi penentu kepada masa depan negeri ini.

Nik Mahidin yang juga Pengerusi Pertubuhan Bekas Ahli 4B  Negeri Kelantan bagaimanapun mengakui laluan untuk perpaduan itu agak sukar sekiranya Pas masih mengangkat individu-individu dalam parti yang dilihat menentang idea itu.