• Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKI Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKI
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan pihak yang memonopoli barangan asas di negara ini sehingga mengakibatkan harganya sukar dikawal dan melambung tinggi.

"Saya nak sebut terus terang. Siapa yang monopoli beras, gula dan tepung? Apakah kita berpuas hati dengan harga dan harga itu berpatutan?

"Tetapi mengapa isu ini tidak dibangkitkan? Kerana mereka itu tauke dan kroni besar. Mereka menindas pun, dimaafkan kerana ia menguntungkan ahli politik," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Buku Syed Husin Ali, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengulas berkaitan isu boikot ke atas peniaga Cina yang mengaut keuntungan berlebihan oleh Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Anwar yang tidak bersetuju dengan kenyataan Ismail Sabri turut menyifatkan kenyataan itu sebagai mengelirukan rakyat kerana ujarnya walau apa bangsa sekalipun,  peniaga yang menipu rakyat harus ditekan.

"Tidak pernah terfikir atau terlintas di fikiran kita, seorang menteri Kabinet boleh membuat kenyataan yang dangkal dan mengelirukan.

"Umpamanya, jika isunya penindasan. Orang menipu, peniaga menipu maka peniaga Cina yang menipu harus kita tekan. Peniaga Melayu atau India yang menipu juga kita kena tekan," tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan dasar yang diterapkan perlu adil dan telus serta tidak memeras rakyat jika berpendirian untuk memberikan keadilan kepada  rakyat.

"Kalau pendirian kita untuk memberi keadilan kepada semua, maka tanpa berkecuali tidak kira namanya siapa (yang monopoli).

"Dasar itu mesti telus, adil, tidak memeras rakyat dan sistem pemerintahan pentadbiran dan dasar politik dan ekonomi tidak boleh memihak kepada si pemeras yang menekan rakyat," katanya.