KUALA LUMPUR - Briged Kesatria Muda hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di laman sosial semalam.

Pengerusinya, Armand Azha Abu Hanipah menegaskan tindakan segera perlu diambil pihak berkuasa ke atas beberapa individu yang membuat ugutan tersebut secara terbuka.

Armand Azha, yang juga Exco Pemuda Umno berkata, ia adalah ancaman serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh beri kesan negatif terhadap perpaduan kaum.

"Jadi saya terpanggil untuk membuat laporan mewakili Briged Kesatria Muda dan juga Pergerakan Pemuda Umno. Tidak perlu banyak laporan, cukup ada satu mewakili pusat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Kenyataan Ismail Sabri berhubung isu boikot peniaga tamak di laman sosial menjadi viral sejak Isnin lepas dan menerima pelbagai maklum balas termasuk yang terbaharu ugutan bunuh secara terang-terangan di laman sosial.

Bagaimanapun kesemua tulisan tersebut telah dipadamkan hari ini.

Armand berkata, pihaknya dan juga beberapa badan bukan kerajaan, seterusnya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mendesak siasatan segera dilakukan ke atas pemilik akaun yang membuat ugutan itu. - Bernama