• Petikan kenyataan dari blog Perdana Menteri. Petikan kenyataan dari blog Perdana Menteri.
1 / 1
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa semua peniaga bersikap adil dan bertimbang rasa dengan menurunkan harga barang sejajar dengan penurunan harga minyak. 
 
Najib turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa isu berkenaan penurunan harga barang sama sekali tiada kaitan dengan bangsa seseorang peniaga. 
 
"Untuk makluman semua, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah pun ditugaskan untuk melakukan pemantauan dengan lebih kerap di seluruh negara bagi memastikan peniaga dan pemborong tidak menaikkan harga barang dengan sesuka hati," katanya seperti dipetik menerusi laman blognya, NajibRazak.com, pagi ini.
 
Beliau juga meminta pengguna di Malaysia bertindak bijak dengan tidak membeli barangan di kedai yang menjual dengan harga tidak berpatutan. 
 
"Kesannya, peniaga seperti ini akan terpaksa menurunkan harga barang sejajar dengan kos," katanya. 
 
Terdahulu isu berkaitan harga barang ini menjadi kontroversi susulan kenyataan Menteri Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri yang mahu pengguna memboikot peniaga Cina yang mengaut keuntungan berlebihan.