Individu terlatih, mahir guna senjata
SHAH ALAM - Pembunuh upahan merupakan individu yang terlatih, pakar dan mahir dalam menggunakan senjata.
Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, berkemungkinan
besar, pembunuh upahan itu pernah bekerja dalam bidang beruniform
seperti tentera mahupun polis.
“Pembunuh upahan yang membunuh ini adalah mereka yang sudah dilatih untuk membunuh.
“Mereka ini mungkin kadang-kadang bekas tentera, polis dan mungkin juga orang biasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, pembunuh upahan melihat sasaran mereka sebagai satu tuntutan kerja dan tidak lebih daripada itu.
“Selepas melakukan tugas, mereka akan menghilangkan diri. Berapa banyak
kejadian yang menggunakan pembunuh upahan ini dapat dikesan?
“Kes Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri)
sebagai contohnya dan terbaharu kes di Miri melibatkan ahli politik PKR.
Saya syak ia melibatkan pembunuh upahan walaupun bersenjatakan senapang
patah,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, faktor utama individu yang berkemahiran ini menjadi pembunuh upahan adalah faktor kewangan.
Shahul berkata, pembunuh upahan ini dijanjikan pulangan yang lumayan andai sasaran mereka rebah ke bumi.
Katanya, kadar bayaran mungkin melebihi RM10,000 dan ianya juga bergantung kepada faktor mangsa itu sendiri.
“Mereka diupah untuk membunuh. Ia bukan suka-suka nak bunuh orang. Ia dijanjikan dengan jumlah bayaran.
“Mungkin upah yang diperoleh dalam RM10,000 dan kalau mangsa itu high
profile, upahnya mungkin lagi mahal. Bergantung pada mangsa,” katanya.
Jelasnya, mangsa yang maut di hujung senjata pembunuh upahan adalah
individu yang memberi kesulitan terhadap sesebuah kegiatan si pemberi
upah.
“Biasanya berlaku kepada mereka yang menyulitkan keadaan contohnya
perniagaan dia. Mungkin juga ada yang melibatkan masalah keluarga,
perhubungan. Rata-rata kes yang boleh menyebabkan kerugian pada satu
pihak, itu yang mereka lakukan (upah pembunuh),” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment