Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

RAJA ADA KUASA


Tun M: Rakyat berserah Majlis Raja-Raja
Mahathir Mohammad
Mahathir Mohammad
   
MESYUARAT Majlis Raja-Raja yang ke–242 bakal bersidang selama dua hari bermula Rabu ini. Persidangan akan dimulakan hari ini yang melibatkan Perjumpaan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri sempena mesyuarat tersebut. Esok, majlis Pre-Council sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu akan mengambil tempat bagi mengenal pasti agenda-agenda yang bakal diperbincangkan pada dua hari berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut.

Ia akan disusuli dengan Mesyuarat Khas pada Jumaat yang bakal memutuskan pengganti Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Bekas pemimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lepas telah merayu kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang bakal bersidang supaya mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap salah laku yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pengumuman kempen #RakyatBerserah itu, Mahathir memberitahu beliau telah menghantar surat rayuan berserta tandatangan 1.2 juta rakyat Malaysia mengenai desakan tersebut kepada Sultan-Sultan, Yamtuan Besar  termasuk gabenor-gabenor yang mewakili 13 negeri di Malaysia.

Mahathir juga menyatakan kesediaan beliau menghadapi mesyuarat itu sekiranya beliau dipanggil untuk menjelaskan secara terperinci mengenai surat rayuan beliau.

“Saya percaya bahawa Raja-Raja akan mempertimbangkan (rayuan kami). Jika mereka ingin saya hadirkan diri untuk penjelasan, saya perlu pergi. Saya perlu taat kepada mereka kerana saya adalah rakyat kepada Raja-Raja,” katanya pada sidang media kempen tersebut di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Setakat ini, terdapat dua kenyataan Raja-Raja Melayu yang dilihat mencalar kredibiliti pentadbiran Najib. Yang pertama, adalah pada 7 Oktober tahun lepas mengenai krisis kredibiliti Kerajaan Malaysia terhadap isu 1MDB dan salah-laku kewangan yang melingkarinya.

Yang kedua, Majlis Raja pada 17 Februari lepas mengembalikan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 kepada Jabatan Peguam Negara kerana mahu beberapa peruntukan diperhalusi.

Akta itu diwartakan pada bulan Ogos walaupun tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menolak cadangan Raja-Raja supaya RUU itu diperhalusi terlebih dahulu.

Sementara itu, Sejarawan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika dihubungi memberitahu Majlis Raja-Raja boleh membincangkan rayuan yang dikemukakan Dr Mahathir itu.

“Ya, Majlis Raja-Raja boleh membincangkan hal sebegini. Tetapi apa-apa keputusan hasil perbincangan itu haruslah berlandaskan Perlembagaan,” katanya.

Menurutnya, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi dalam negara dan di dalam Rukun Negara ia disebut - Keluhuran Perlembagaan.

Katanya, terdapat perbezaan posisi Raja-Raja sebelum merdeka dan selepas merdeka dengan pentadbiran British sebelum merdeka berkali-kali menekankan kedudukan tersebut sebagai Raja Berdaulat.

“Tetapi apabila negara telah merdeka, dengan adanya Perlembagaan Persekutuan, ia dikenali sebagai Raja Berperlembagaan,” katanya.  

“Apabila ada isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu, Majlis Raja-Raja sudah semestinya boleh memainkan peranan”.

Baru-baru ini isu yang menjadi bualan hangat di dada akhbar dan media sosial adalah perdebatan sama ada Agong mempunyai kuasa untuk memecat atau mengambil tindakan terhadap Najib.  

Namun, sehingga kini ia tidak jelas sama ada Majlis Raja-Raja secara khususnya mempunyai kuasa untuk memecat Perdana Menteri.

Barisan peguam Mahathir yang diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla walau bagaimanpun berkata, bahawa Perlembagaan Malaysia, iaitu undang-undang tertinggi negara memperuntukkan kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong.  

“Perkara 40 (2) (a) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melantik seorang Perdana Menteri. Ya, ia tidak menyentuh tentang kuasa untuk memecat perdana menteri," kata Haniff ketika dihubungi.

Tetapi, menurut Haniff, Seksyen 29 Jadual ke-11 dalam perlembagaan menyebut “Kuasa untuk melantik termasuklah kuasa untuk membuang kerja”.

“Jika suatu undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak berkuasa kuasa untuk membuat pelantikan bagi memegang apa-apa jawatan atau kedudukan, maka, melainkan jika terdapat niat yang berlawanan, kuasa itu hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung mana-mana orang yang dilantik dan melantik seorang lain buat sementara bagi menggantikan mana-mana orang yang digantung sedemikian atau bagi menggantikan mana-mana pemegang jawatan atau kedudukan yang sakit atau tidak hadir,” Seksyen 29 itu menyebut.

Walaupun rata-rata berpendapat Raja-Raja Melayu tidak pada umumnya mencampuri urusan pentadbiran atau kerajaan, namun harus diingat Institusi DiRaja ini pernah memainkan peranan penting dalam menyelesaikan kemelut politik yang melanda Perak dan Terengganu suatu ketika dahulu.

Tidak dapat dinafikan Raja-Raja dilihat sebagai ‘penyelamat’ kepada situasi yang wujud pada masa itu. Justeru, ini bukannya satu perkara yang asing pada Raja-Raja Melayu, Persoalannya adalah sekarang, kini ia tidak membabitkan negeri tapi negara.

Sememangnya, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang keutuhan negara. Selain bertindak sebagai ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong turut berfungsi dalam tiga cabang utama iaitu eksekutif kerajaan, legislatif dan kehakiman.

Sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dan kuasa penting pada pentadbiran negara serta rakyat yang telah menzahirkan keluhan serta rungutan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Daulat Tuanku!

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.