27/10/14
Kronologi peristiwa kes liwat kedua Anwar
KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi peristiwa berkaitan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 28 Jun, 2008 : Bekas pembantu
Anwar, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, membuat laporan polis mendakwa
Anwar telah meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara. Laporan itu
dibuat dua hari selepas dakwaan insiden liwat itu.
Pada 30 Jun, 2008 : Anwar memfailkan
saman fitnah terhadap Mohd Saiful, yang membuat laporan polis ke atasnya
bagi tuduhan liwat, dengan mendakwa laporan itu palsu dan berniat
jahat.
Pada 7 Ogos, 2008 : Anwar, 60, penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen
di sini atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful
Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan
Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26
Jun, 2008.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B
Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat
jika sabit kesalahan.
Hakim S.M. Komathy Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.
On Nov 7, 2008 : Hakim Mahkamah Sesyen
S.M Komathy Suppiah memutuskan supaya kes liwat Anwar dibicarakan di
Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes itu ke
Mahkamah Tinggi, yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul
Gani Patail, tidak sah.
Dalam menolak permohonan pendakwaan
(supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah Tinggi), Komathy berkata sijil
itu bercanggah dengan jangkaan perundangan Anwar bahawa Abdul Gani tidak
akan terlibat dalam kes itu.
Pada 5 Mac, 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan kes liwat itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk
Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu ekoran permohonan pihak
pendakwaan supaya dikaji semula keputusan Mahkamah Sesyen mengekalkan
perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen S.M
Komathy Suppiah telah terkhilaf dalam memutuskan bahawa sijil
pemindahan kes itu, yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul
Gani Patail, tidak sah.
Pada 6 Mac, 2009 : Anwar memfailkan
rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya kes
liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.
Pada 10 Mac, 2009 : Mahkamah Tinggi menetapkan 1-24 Julai sebagai tarikh perbicaraan kes liwat itu.
Pada 17 Jun, 2009 : Anwar telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat beliau di Mahkamah Tinggi.
Pada 6 Nov, 2009 : Mahkamah Rayuan
menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel
DNA yang didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan
bagi pertuduhan liwat yang dihadapinya.
Antara dokumen penting itu ialah
kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Mohd Saiful, Dr Osman
Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul
Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan
laporan perubatan.
Pada 1 Dis, 2009 : Mahkamah Tinggi
memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan pertuduhan meliwat terhadap
Anwar hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan
penetrasi.
Semasa menolak permohonan Anwar untuk
mengetepikan pertuduhan liwatnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah
berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah
menggunakan kuasa untuk membatalkan pertuduhan itu.
Pada 3 Feb, 2010 : Perbicaraan kes liwat
Anwar dimulakan dengan Mohd Saiful memberi keterangan sebagai saksi
pertama. Perbicaraan itu, di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, bermula
selepas 18 bulan Anwar dituduh pada Ogos 2008.
Dalam keterangannya, Mohd Saiful
memberitahu bahawa Anwar, yang didakwa meliwatnya, telah mengajaknya
untuk melakukan hubungan seks di luar tabii.
Mohd Saiful berkata insident itu berlaku
pada 26 Jun, 2008 selepas beliau dan Anwar selesai berbincang mengenai
jadual kerja di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.
Pada 5 Feb, 2010 : Mohd Saiful
memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak membuang air besar
selama dua hari selepas diliwat oleh Anwar. Beliau juga memberi
keterangan bahawa seluar yang dipakainya pada hari insiden itu berlaku
adalah hadiah daripada Anwar.
Pada 9 Feb, 2010 : Perbicaraan kes liwat
itu ditangguhkan sekali lagi bagi membolehkan pihak pembelaan
memfailkan maklum balas kepada afidavit jawapan terhadap permohonan
Anwar supaya hakim menarik diri.
Ia ditangguhkan selepas pembelaan
memohon supaya Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada
mendengar kes itu dengan alasan beliau bertindak bereat sebelah.
Pada 18 Feb, 2010 : Anwar gagal dalam
cubaannya untuk meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada
mendengar perbicaraan kes liwatnya.
Hakim Mohamad Zabidin, semasa menolak
permohonan itu, memutuskan bahawa tidak ada sebab beliau perlu menarik
diri daripada menghakimi kes itu, dan jika beliau berbuat demikian, ia
seperti melarikan diri daripada tanggungjawabnya.
On 25 Feb, 2010 : Anwar gagal dalam
cubaannya untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting termasuk contoh
spesimen DNA Mohd Saiful sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya,
selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya.
Pada 3 Mac, 2010 : Semasa pemeriksaan
balas oleh peguam Anwar, Karpal Singh, Mohd Saiful memberitahu Mahkamah
Tinggi bahawa beliau tidak membasuh duburnya selepas insiden liwat yang
didakwa berlaku pada 26 Jun, 2008 kerana beliau mahu "simpan bukti".
Mohd Saiful, saksi utama terhadap kes
liwat ketua pembangkang itu, juga memberitahu bahawa beliau tidak mandi
selepas insiden itu sebaliknya hanya menyiram tubuhnya.
Beliau mandi pada pagi sebelum insiden itu berlaku, katanya.
Pada 16 Ogos, 2010 : Anwar gagal dalam
cubaan keduanya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap dirinya
selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam usahanya menggugurkan pertuduhan
itu, Anwar mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan
pendakwaan adalah dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara
Mohd Saiful dengan seorang daripada anggota pendakwaan.
Pada 20 Sept, 2010 : Mahkamah Rayuan
menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwatnya kerana ia
tidak ada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara berkenaan.
- Bernama
1 orang berkata:
bolehke tukar-tukar mazhab macam tu je.
Post a Comment