• Hannah Yeoh Tseow Suan Hannah Yeoh Tseow Suan
1 / 1
SHAH ALAM - Sidang Dun Selangor pada bulan depan bakal memuktamadkan pemilihan calon bagi jawatan Timbalan Speaker setelah penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada wakil Pas menduduki kerusi itu.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh berkata, pelantikan jawatan itu akan melalui proses undian dalam sidang Dun pada November depan.

"Kedudukan Timbalan Speaker akan ditentukan oleh Dun Selangor bila bersidang pada November ini, ahli-ahli dewan negeri akan melantik seorang Timbalan Speaker.

"Buat masa sekarang memang jawatan itu dikosongkan, sehingga sidang Dun akan datang," katanya kepada Sinar Harian Online.

Ketika diminta mengulas kemungkinan Pas akan menolak jawatan tersebut, Hannah berkata, sudah tentu PR mempunyai calon lain dan pelantikan itu mestilah mengikut prosedur.

"Selalunya PR akan mempunyai calon tersendiri, calon itu akan dicalonkan dan pelantikan akan dijalankan dalam dewan.

"Jadi saya tak nak komen dulu perkara tersebut.

"Buat masa sekarang memang tiada sebarang pencalonan dan jawatan tersebut masih kosong," katanya lagi.

Peletakkan jawatan Nik Nazmi pada 26 September lalu dibuat bagi membolehkan Adun Seri Setia itu dilantik sebagai salah seorang daripada 10 Exco Selangor yang baharu.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata jawatan Timbalan Speaker itu akan diambil alih oleh wakil Pas selepas kuota Exco parti itu dikurangkan dari empat kepada tiga.