Surat usul RUU hudud bukan khianat
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar
mempertahankan tindakan parti itu yang mengemukakan surat usul supaya
Rang Undang-undang Persendirian mengenai hudud dibentangkan pada
persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Beliau menegaskan, tindakan itu dibuat berdasarkan prinsip bersama PR
iaitu "bersetuju untuk tidak bersetuju" sekali gus tidak bertentangan
dengan keputusan Majlis Pimpinan PR.
"Kita hanya menunggu kebenaran Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan
atau tidak (bawa RUU) dan kita sangat terbuka kepada mana-mana pihak
menolak enakmen tersebut.
"Kita tiada masalah dengan DAP, kita sudah pun bersetuju dengan DAP
tidak bersetuju termasuk menolak dengan apa-apa yang berkaitan dengan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dan menolak RUU itu," katanya kepada
pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: DAP dedah bukti Abdul Hadi khianat PR]
Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Setiausaha Organisasi DAP,
Anthony Loke hari ini mengenai bukti pengkhianatan Pas apabila
presidennya mengemukakan surat permohonan untuk membawa RUU mengenai
hudud ke persidangan Dewan Rakyat.
Dakwanya, surat yang ditandatangani Abdul Hadi itu telah dikemukakan
kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu bagi membolehkan RUU
mengenai bidang kuasa mahkamah syariah itu dibentangkan di Parlimen.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesahihan surat yang didedahkan
Anthony hari ini, Mahfuz bagaimanapun mengakui perkara itu benar dan
telah disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
"Ya, saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Pas mengatakan memang betul
dan telah memasukkan permohonan untuk Rang Undang-undang Persendirian
ke sidang Dewan Rakyat nanti," ujarnya.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut
menafikan tindakan Pas itu sebagai satu pengkhianatan kerana enakmen
mengenai hudud itu sudah wujud sebelum tertubuhnya Barisan Alternatif
(BA) dan PR.
"Tidak timbul soal khianat, enakmen jenayah itu sudah wujud sejak 1993,
ketika DAP keluar BA pun enakmen itu sudah wujud, begitu juga selepas
2008 apabila PR terbentuk, enakmen itu juga sudah, semuanya berlaku
dalam keadaan sedar," jelasnya.
Tambah Mahfuz, Pas juga bersedia menerima sebarang keputusan jika RUU itu mendapat undian majoriti atau sebaliknya.
"Saya fikir semua harus menghormati prinsip demokrasi, tunggu sehingga proses ini selesai.
"Apa-apa pun mereka hendak membantah terpulang kepada semua (ahli
Parlimen) sebab bukan orang PR sahaja (mengundi) termasuk BN, itu hak
demokrasi, kita akur kepada keputusan," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment