Orang awam memang dibenar naiki Hercules
JAKARTA - INDONESIA. Orang awam rakyat tempatan dibenarkan menumpang
pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI
AU) sebagai pengangkutan untuk ke sesuatu destinasi yang tidak mempunyai
perhubungan jalan darat.
Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Ryamizard Ryacudu dipetik oleh
siaran berita televisyen tempatan sebagai berkata, ia bukan satu masalah
jika terdapat orang awam menumpang pesawat Hercules itu kerana ia
adalah amalan sejak dulu lagi.
"Kalau mahu ikut (sememangnya) boleh saja (menaiki pesawat milik tentera). Dari dulu begitu," katanya.
Beliau berkata, kebenaran untuk membawa orang awam menumpang pesawat
Hercules itu adalah sebagai usaha mengeratkan hubungan antara TNI dan
rakyat, yang mana tentera tidak mengenakan sebarang bayaran.
Ryamizard juga menafikan kononnya orang awam dikenakan bayaran untuk
menaiki pesawat tentera seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.
Media tempatan memetik beberapa anggota keluarga mangsa orang awam yang
menaiki pesawat malang berkenaan yang mendakwa mereka dikenakan bayaran
antara Rp800,000 hingga Rp1 juta bagi perjalanan ke Kepulauan Riau itu.
Pesawat Hercules milik TNI AU yang membawa 122 orang termasuk 12 anak
kapal terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan,
Sumatera Utara pagi semalam.
Pesawat buatan 1964 itu terhempas pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan
setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan dan
menghempap deretan rumah kedai, sebuah spa dan sebuah bangunan Pusat
Perubatan Tradisional.
Kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan terkorban manakala puluhan
mayat orang awam juga ditemui di bawah runtuhan bangunan dan bangkai
pesawat.
Setakat ini sebanyak 142 mayat ditemui iaitu termasuk mayat orang awam
yang menjadi mangsa di tempat kejadian dan kerja-kerja mencari dan
menyelamat masih diteruskan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment