Muhyiddin: Pastikan satu lawan satu dalam PRU14
SABAK BERNAM – Parti pembangkang di negara ini perlu membulatkan tekad
dan mengetepikan segala perselisihan faham sesama mereka bagi mewujudkan
satu kesatuan dan perpaduan dalam usaha menumbangkan BN.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyatuan yang
paling mustahak yang perlu dicapai parti pembangkang adalah dalam
memuktamadkan pertandingan satu lawan satu bagi kerusi Parlimen dan Dun
dalam PRU-14.
“Apa yang penting rakan-rakan dalam pembangkang dapat mewujudkan satu
persefahaman bahawa untuk menyelamatkan Malaysia kita harus bersatu-padu
dan mempunyai tekad dan azam yang sama.
“Kita juga perlu bangkitkan kesedaran kepada rakyat bahawa BN mesti
ditumbangkan dan digantikan dengan sebuah kerajaan baru yang boleh
membela dan memperjuangkan rakyat,” katanya ketika berucap pada Siri
Jelajah Penerangan 1MDB di Stadium Mini Sabak Bernam, di sini, malam
tadi.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, sudah tiba masanya parti
pembangkang mewujudkan satu barisan baharu yang bukan saja menggantikan
BN, tetapi berusaha meneruskan perjuangan supaya Malaysia menjadi sebuah
negara maju dan berjaya serta rakyat mendapat pembelaan dengan adil dan
saksama.
“Mungkin ada pihak yang menyebutkan ia Barisan Bersatu atau pun Barisan
Rakyat…tidak kira apa nama sekalipun, tetapi muafakat yang hendak kita
jalin ini, mestilah muafakat yang kekal supaya kerjasama dapat kita
teruskan untuk sepanjang masa,” katanya.
Muhyiddin turut mendedahkan sebelum beliau memutuskan untuk menubuhkan
Bersatu beliau telah berbincang dengan ramai rakan-rakannya dalam
Pakatan Harapan, Pas dan lain-lain parti.
“Mereka menyambut baik tentang penubuhan Bersatu. Saya melihat waktu
saya ke Kelantan baru-baru ini, sambutan yang agak luar biasa…ini
bermakna, mereka sedang menunggu–nunggu dengan penubuhan Bersatu ini,”
katanya.
Muhyiddin berkata, dalam kajian beliau, terdapat 67 kerusi terumbang-ambing yang sekarang ini di bawah BN.
“Dalam simulasi yang telah pun dibuat pakar-pakar yang saya lantik,
mereka mengatakan kalau ada empat peratus sahaja kerusi ini pusing, maka
45 kerusi ini akan jatuh dan sebahagian besarnya kerusi yang dimiliki
BN,” katanya.
1 orang berkata:
Husam pasti tak setuju ni sbb di Kelantan dia nak lawan 3 penjuru utk rampas Kelantan dari PAS.. Memberontak lagilah nampaknya husam lepas ni.. Lepas ni mungkin husam akan kata PAN ni asyik ikut cakap presidennya yg ada masalah performance dan goyang kaki utk bergabung dgn Bersatu hingga dia nak rampas kelantan pun tak boleh kerana PAN hanya menurut kehendak Bersatu agar hanya satu lawan satu di PRU14.
Bersiap sedialah dgn pemberontakan husam pula wahai PAN!
Post a Comment