ANAK NAJIB
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan majlis pertunangan anak perempuannya, Nooryana Najwa pada Jun tahun lalu, diadakan dengan menggunakan duit kerajaan.

"Perbelanjaan pertunangan anak perempuan PM, Nooryana Najwa, tidak ditanggung oleh Pejabat Perdana Menteri sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak," kata mesej menerusi Twitter di bawah akaun Pejabat Akhbar Perdana Menteri (Msia PM Press Office) kira-kira sejam lalu.

Mesej susulan pula menyebut, "Pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dakwaan dalam waktu terdekat."

Laporan media atas talian awal hari ini memetik PKR mendkawa, pihaknya ada bukti kerajaan telah membiayai majlis pertunangan Nooryana Najwa.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dilaporkan membuat dakwaan itu dengan merujuk kepada satu tempahan jamuan bankuet kepada Hotel Shangri La, yang didakwa menyediakan katering untuk majlis berkenaan.

Malah menurut laporan itu, Rafizi mendakwa bahawa kos berjumlah RM409,767 itu dibilkan ke atas Pejabat Perdana Menteri.

Jumlah itu mungkin hanya RM409,767, namun menurut Rafizi, ia menunjukkan sikap kerajaan yang didakwa "menggunakan wang rakyat bagi kemewahan peribadi."

Majlis berkenaan diadakan pada 17 Jun 2011 di kompleks Perdana Putra.
Laporan Bernama pada hari pertunangan menyebut bahawa pertunangan anak Najib itu dengan warga Kazakhstan, Daniar Nazarbayev dilangsungkan di kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana di Putrajaya.