Protes umat Islam
Penyokong Tehreek Hurmat e Rasool mengadakan tunjuk perasaan di Lahore, Pakistan. - Foto EPA
 
PARIS - Satu aduan rasmi telah difailkan terhadap majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW dalam keadaan mengaibkan dan menghina Islam.

Aduan itu mendakwa majalah tersebut mencetuskan kebencian. Penerbitan kartun itu insiden terbaru mencetuskan kemarahan dan protes selepas filem Innocense of Muslims.

Sebuah pertubuhan Syria yang kurang dikenali dilaporkan membuat aduan itu di pejabat pendakwa raya di sini. Pejabat pendakwa raya akan memutuskan sama ada tindakan perlu diambil ke atas majalah tersebut.

Ekoran penerbitan majalah itu, Perancis kini bersiap sedia untuk berdepan dengan protes, yang kini dilalui oleh Amerika Syarikat (AS).

Perancis bercadang untuk menutup beberapa kedutaan di beberapa negara. Malah di beberapa negara, kawalan ke atas premis misi diplomat Perancis telah ditingkatkan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu menggesa pemimpin politik dan agama dunia supaya bersatu padu menentang kalangan fanatik serta radikal yang mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan global dengan menyemarakkan perbuatan menghasut dan tidak sikap bertoleransi terhadap agama.

“Komuniti antarabangsa mesti peka terhadap implikasi berbahaya dalam ucapan berbaur kebencian serta penerbitan bersifat menghasut dan mesti keluar daripada berselindung di sebalik alasan kebebasan bersuara," katanya dalam kenyataan sebagai respons kepada laporan berhubung penerbitan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW oleh mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo dalam edisi terbaharunya.

Setiausaha Agung pertubuhan 57 anggota itu menegaskan bahawa komuniti antarabangsa perlu memberi tumpuan kepada apa yang dilihat sebagai penyalahgunaan kebebasan yang disengajakan, mempunyai motif dan terancang yang mengancam keamanan, keselamatan serta kestabilan dalam konteks serantau dan global.

Beliau menyatakan terkejut dan kecewa terhadap laporan itu, dan menegaskan mingguan Perancis itu sepatutnya mengambil kira keprihatinan komuniti antarabangsa terhadap perbuatan menghasut dan tidak bertoleransi dalam penyalahgunaan kepercayaan agama, termasuk yang disuarakan oleh Perdana Menteri Perancis, Jean Marc Ayrault.

Beliau memberi amaran bahawa penerbitan itu akan terus memburukkan lagi keadaan huru-hara dan keganasan global ekoran penyiaran filem anti-Islam 'Innocence of Muslims', yang mendapat kecaman hebat di seluruh dunia.

Bantahan terhadap filem itu tercetus pada 11 September di Mesir dan Libya, sebelum merebak ke negara Arab dan Islam lain pada hari berikutnya.

Serangan yang mempunyai kaitan turut berlaku di pejabat konsul AS di
Benghazi mengakibatkan kematian Duta AS J. Christopher Stevens dan tiga lagi rakyat Amerika.

Ihsanoglu mengingatkan umat Islam di seluruh dunia supaya bersabar dalam menghadapi saat yang menguji ini, dan menggesa masyarakat daripada semua agama supaya bersatu menentang kempen menyemai kebencian yang amat keji ini.

Beliau turut mengetengahkan peri pentingnya rangka kerja persetujuan bersama yang diperuntukkan oleh resolusi 16/18 tajaan OIC dan Proses Istanbul bagi melaksanakan respons bersepadu global terhadap perbuatan menghasut dan keganasan
menggunakan asas agama yang semakin kerap dilakukan.