Bajet 2013 peluang akhir BN tarik pengundi
28 September 2012
Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Setiu, Dr Azman Ibrahim berkata, mengambil kira Bajet 2013, sudah tentu kerajaan akan memastikan belanjawan tersebut dimanfaatkan terlebih dahulu kepada rakyat.
Beliau turut menyifatkan bajet tersebut sebagai peluang terakhir BN untuk menarik rakyat bersama-sama mereka pada pilihan raya umum akan datang.
“Amat tidak bijak jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan PRU13 sebelum memanfaatkan belanjawan tersebut kerana inilah kesempatan terakhir pihak terlibat untuk tarik pengundi,” katanya.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan PRU13 tidak akan berlangsung tahun ini, lantas mengaburkan spekulasi pelbagai pihak kejutan bakal berlaku November ini.
Ini kerana katanya, perlu bagi Najib menggunakan sepenuhnya mandat pemerintahan lima tahun pemerintahan BN sejak 2008 sebelum PRU berlangsung.
Azman yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar negeri bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bimbang terhadap sebarang kemungkinan yang boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap pembangkang.
Beliau memberitahu, pembangkang tidak ketandusan isu sama ada peringkat setempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) atau peringkat nasional.
“Kita yakin rakyat bersama-sama tetapi kita tidak boleh jangka dan secara umumnya apa yang dikemukakan kerajaan itu kita istilahkan sebagai gula-gula kepada rakyat. Rakyat bijak menilai untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment