Pilihan Raya Kampus.
Pilihan Raya Kampus.
SHAH ALAM – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijangka melangsungkan pengundian baru pilihan raya kampus Selasa ini selepas keputusan kelmarin digantung ekoran masalah teknikal dalam sistem e-undi.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporatnya, Dr Baharuddin Aziz berkata, tarikh tepat pengundian semula belum pasti kerana masih menunggu pengesahan Senat UIAM.

“Jangkaan kami memang Selasa depan tetapi sehingga kini, kami masih belum mendapat pengesahan daripada Senat.

“Kemungkinan besar, sistem undian kali ini menggunakan kaedah manual memandangkan sistem e-undi sebelum ini menghadapi masalah,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi.

Menurutnya, sebelum ini sistem e-undi digunakan di kedua kampus UIAM iaitu di Kuantan dan Gombak, namun tiada sebarang masalah sehingga dikesan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar pada pilihan raya kampus kali ini.

Laporan mengenai perkara tersebut sudah diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sebanyak 32 kerusi dipertandingkan membabitkan 18 kerusi di kampus Gombak dan 13 kerusi lagi kampus Kuantan.