Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris
Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris
 
KUALA TERENGGANU – Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras mematahkan cita-cita pembangkang untuk menguasai Putrajaya, sekali gus mempertahankan kerajaan sedia ada.

Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sebagai mencabar berkata dengan kelantangan pembangkang untuk mentadbir negara, sudah tentu kerja berterusan perlu dalam merealisasikan agenda parti untuk memastikan BN terus kukuh dalam negara.


Beliau turut menegaskan bahawa sekarang bukan masanya untuk mengakui BN boleh menang besar.


“BN kena kerja keras dan mereka tidak boleh kata menang besar atau kalah kerana masa ini adalah masa terbaik untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat untuk menarik seberapa ramai kepada BN.


“Berhubung andaian mana-mana pihak mengenai kekalahan BN, kita tidak perlu fikir secara mendalam tetapi teruskan bekerja untuk rakyat,” katanya.


Mengulas tinjauan dikendalikan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan peratu-san jangkaan BN akan menang merosot, sebaliknya meningkat kepada PR, Razali berkata bahawa kajian luar yang dibuat boleh dipertikai.


Beliau berkata, kajian yang dilakukan pihak akademik atau pihak lain berbeza dengan kajian yang dijalankan sendiri oleh parti.


“Kita ada ejen yang melaksanakan bacaan sikap sama ada kawasan tersebut boleh menang atau kalah. Sebaliknya, kajian universiti tidak terus kepada pengundi,” katanya.


Beliau berkata, perkara tersebut tidak perlu diberi perhatian sebaliknya dianggap cabaran untuk bekerja lebih kuat.


Sementara itu, beliau berkata, pembangkang cuba menonjolkan diri dengan bersikap agresif dan lantang memperkatakan sesuatu isu bagi menunjukkan mereka hebat.


Katanya, keadaan itu berlainan dengan BN yang lebih banyak bertenang daripada melawan kerana tidak mahu bersikap seperti pembangkang yang lebih suka menunjukkan protes dan provokasi.


Bagaimanapun, jelasnya, keadaan itu tidak sesekali menyebabkan mereka berasa kalah dengan kelantangan pembangkang.


“Sebagaimana pilihan raya kampus, sebelum ini kita menjangka pro mahasiswa menang berdasarkan beberapa tinda-kan kontroversi golongan mahasiswa dengan menurunkan bendera dan menunjukkan bontot kepada gambar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi keputusan yang diperoleh memperlihatkan mereka kecundang,” katanya.