Calon PRU13: Cuepacs serah kepada PM
30 September 2012
Dalam temu bual dengan wartawan Sinar Harian Online, Raziatul Hanum A Rajak baru-baru ini, Presidennya, Datuk Omar Osman, yang menerajui badan induk ini sejak Oktober 2006, berbicara mengenai soal kebajikan dan kepentingan anggota perkhidmatan awam termasuk sistem saraan dan gaji minimum. Malah, beliau juga berkongsi mengenai pendiriannya dan Cuepacs ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang semakin dekat.
SINAR HARIAN ONLINE: Datuk dikatakan sebagai Presiden Cuepacs yang sangat aktif. Apa pandangan Datuk?
OMAR OSMAN: Aktif ini tertakluk kepada sokongan padu daripada gabungan dan majlis jawatankuasa termasuklah pegawai dalam Cuepacs sendiri. Apabila mendapat sokongan padu dan kerjasama yang baik, kita sebagai pemimpin akan bekerja dengan lebih gigih bagi merancang dan memperjuangkan kebajikan setiap anggota gabungan perkhidmatan awam ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Datuk sudah puas hati dengan pencapaian dan sumbangan Datuk selaku Presiden Cuepacs?
OMAR OSMAN: Sejak meneraju Cuepacs, bermula 26 Oktober 2006 sehingga hari ini, walaupun masih ada beberapa perkara yang belum selesai tetapi dari segi kepuasan hati bagi saya memang memadai apa yang dicapai sehingga hari ini, yang dinikmati oleh anggota-anggota perkhidmatan awam termasuk pesara-pesara sekali.
SINAR HARIAN ONLINE: Sejauh mana tahap perjalanan suruhanjaya khas transformasi dalam perkhidmatan awam?
OMAR OSMAN: Suruhanjaya khas transformasi sektor perhidmatan awam ini, ditubuhkan berdasarkan apabila pada 8 Mac 2012 permasalahan dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), apabila ada ketidakpuashatian dari semua peringkat.
Cuepacs sebagai tunjang utama telah membuat perkara-perkara bantahan. Sehubungan itu, kerajaan membuat keputusan membatalkan SBPA dan apabila SBPA dibatalkan, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan satu suruhanjaya.
Ia telah ditubuhkan dan saya salah seorang dalam ahli majlis tersebut dan dengan harapan suruhanjaya ini akan menggubal satu sistem transformasi perhidmatan awam, sama ada dari segi cara bekerja, kualiti bekerja, bagaimana kita nak tingkatkan imej anggota perkhidmatan awam, menanamkan semangat intergriti yang tinggi dan seterusnya mempunyai satu skim perkhidmatan gaji yang lebih adil dan saksama supaya penjawat awam lebih menyerlah.
Jadi suruhanjaya ini telah bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk menyediakan satu skim atau satu bentuk apakah yang kita mahu transformasi untuk sektor perkhidmatan awam menjelang 2020, lagi lapan tahun.
Apabila SBPA dibatalkan, kita kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM), yang mana kita menunggu laporan suruhanjaya itu. Jadi, buat masa ini, kita mengikut apa yang terkandung dalam SSM itu sendiri dan apabila pengumuman selesai, baru kita ada opsyen kembali pada satu skim yang baru.
kerajaan beri tempoh selama enam bulan bermula 1 Jun hingga 31 Disember 2012, jadi kita harap dapat dimulakan dengan lebih komprehensif.
Bonus Aidilfitri dan insentif tambahan
SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini PM mengumumkan bonus Aidilfitri, yang pertama Bonus Aidilfitri diberikan? Apakah Cuepacs mengharapkan satu bonus tahunan diberikan? Cuepacs akan pohon?
OMAR OSMAN: Apabila ekonomi dua tiga tahun lepas tidak menentu, kerajaan tidak berkemampuan untuk memberi dalam bentuk bonus. Kerajaan hanya memberi dalam bentuk sagu hati, yang mana RM500 sebelum raya, RM500 selepas raya. Saya ingat dua tahun berturut-turut kita menikmati itu.
Pada tahun ini, kita telah diumumkan setengah bulan bonus untuk musim perayaan ini, yang mana termasuk pesara-pesara diberi RM500 sebagai sagu hati. Kita harap walaupun perkara ini belum diputuskan lagi, di mana kita menunggu pembentangan bajet.
Kita harap dapat paling tidak sebulan gaji bonus dapat dinikmati yang mana untuk persiapan raya dan persiapan awal persekolahan dan sebagainya. Ini memang biasa setiap tahun begitu. (Dalam Bajet 2013 dibentangkan Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bonus satu bulan gaji, tambahan kepada bonus Aidilfitri).
Cuepacs ini hanya badan yang memperjuangkan hak kebajikan pekerja supaya anggota perkhidmtan awam ini, khasnya yang berpendapatan sederhana dapat meringankan kos sara hidup, juga meringankan beban dari semasa ke semasa.
Setiap tahun memang kami mengharapkan pembayaran ini dapat dilakukan kerajaan atas kemampuan kerajaan sama ada setengah bulan, sebulan, dua bulan, tiga bulan kita harap dapat dipertimbangkan kerajaan.
Paling tidak bagi menghargai sumbangan mereka menjayakan dasar kerajaan, supaya mereka merasa mereka memainkan peranan sebagai enjin penting dalam perkhidmatan awam.
Pemberian bonus ini melibatkan kadar gaji setiap penjawat awam.
Setengah bulan bagi setiap penjawat awam mengikut gaji masing-masing. Ia mengikut jawatan yang mereka sandang. Kalau gaji RM2,000 sebulan dapatlah RM1,000.
SINAR HARIAN ONLINE: Kos sara hidup dilaporkan semakin meningkat. Apakah harapan Cuepacs dan tuntutan Cuepacs? Perlukah Cola dikaji balik?
OMAR OSMAN: Memang sekarang ini yang membimbangkan kita apabila berlaku kenaikan gaji, atau pun dapat bonus, kos barang akan berlaku penambahan. Ini yang berlaku di luar kawalan kita. ini yang menyebabkan kos sara hidup tinggi.
Gaji RM3,000 ke bawah kalau tidak pandai urus memang menjadi masalah. Itu sebab dalam pembangunan Cuepacs dari semasa ke semasa Cola misalnya kita minta keselarasan, standardkan dari semua peringkat bandar, luar bandar , negeri-negeri sebab sekarang ini kita dapati kos saraan hidup bandar ke luar bandar ke sama sahaja kos sara hidup. Kadang-kadang di luar bandar lagi mahal. Di luar jangkaan kita.
Ini perkara yang sedang kita perbincangkan dari semasa ke semasa.
Kemudian, dalam perkhidmatan awam kita dan sekian lama, kita tak buat penambahbaikan kemudian, dari segi imbuhan tetap perumahan sekarang mana ada lagi sewa rumah RM180? Tidak ada.
Ini semua perkara yang kita minta kerajaan pertimbangkan semula. Khasnya dari segi skim gaji perkhidmatan awam mesti seimbang dengan kos sara hidup semasa. Kita tidak mahu pendapatan rendah, kos sara hidup tinggi dan menjejaskan produktiviti. Jadi ini yang kita sedang menjalankan perundingan perbincangan dengan pihak kerajaan, kementerian tertentu, bagaimana kita nak atasi permasalahan ini.Supaya penjawat awam ini dapat pendapatan yang cukup, gaji yang cukup.
Baru mereka boleh bekerja dengan penuh gigih. Barulah selaras dengan Perdana Menteri kata cepat, tepat, integriti, kreatif dan inovasi. Barulah boleh capai tahap itu. Tetapi, kalau masalah ini ada, mereka terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menampung kos sara hidup yang tinggi, terutama di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang.
Gaji minimum sektor awam harus RM1,200
SINAR HARIAN ONLINE: Gaji minimum penjawat awam sudah diputuskan?
OMAR OSMAN: Sekarang ini kalau peringkat swasta kerajaan sudah menetapkan kalau swasta gaji minimum sektor swasta, RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah Sarawak tetapi di peringkat sektor awam, gaji minimum campur elaun.
Kalau gaji saja kita belum capai gaji minimum. Contohnya, kalau gaji kita paling rendah RM647. RM647 ini belum capai gaji minimum, kalau dicampur dengan elaun Cola, elaun rumah, elaun perkhidmatan awam barulah mengatasi gaji minimum. Kalau gaji sahaja, kita belum tercapai. Ini yang kita lihat. Kenaikan gaji perlu berada dalam gaji minimum.
Ini perkara di bawah suruhanjaya, yang kita harap dapat dilihat semua sekali.
Gaji minimum ini adalah berdasarkan kadar kos sara hidup. Mengikut kiraan ketika itu. Maknanya, kerajaan telah menetapkan RM900 jadi RM900 ini mesti minimum pada pekerja tidak termasuk insentif-insentif lain. RM900 ini berdasarkan indeks semasa, dan kos barang.
Kalau tidak tercapai tahap ini, maknanya ia akan berada pada paras gaji tahap kemiskinan. Jika penjawat awam mendapat RM500, dia tidak boleh menanggung kos sara hidup. Jika dapat RM900 baru boleh menanggung kos sara hidup. Ini yang ditetapkan. Tidak termasuk kerja lebih masa, jugaa insentif.
Pendapatan ini tidak menentu. Itu adalah tambahan. Kalau dapat baru boleh menyimpan.
Sektor awam belum ada gaji minimum. Setakat ini gaji sahaja. Kalau gaji RM600 sahaja tiada elaun, kita duduk di bawah paras kemiskinan. Jadi mereka terpaksa bekerja sambilan untuk menambah RM600 lagi untuk menjadi RM1,200. Bagaimana kita hendakkan pekerja yang produktif? Itu sebab ada elaun-elaun tersebut.
Elaun-elaun ini membantu melonjakkan kita sampai ke tahap gaji minimum. Jadi, satu hari nanti, kalau gaji sektor awam dapat dilonjakkan kepada RM900 tidak termasuk elaun-elaun tadi, baru dia boleh buat simpanan.
SINAR HARIAN ONLINE: Berapa tahun sekali gaji minimum ini wajar disemak?
OMAR OSMAN: Tiga tahun sekali mesti disemak. Berdasarkan kepada ekonomi, kos sara hidup. Semua itu perlu diambil kira.
SINAR HARIAN ONLINE: Penerimaan kerajaan terhadap tuntutan Cuepacs?
OMAR OSMAN: Kerajaan memang mempertimbangkan supaya perkara ini dapat dilaksanakan mengikut kemampuan kerajaan. Perdana Menteri sendiri mengambil perhatian terhadap perkara ini. Kerajaan telah menggariskan pendapatan setahun RM50,000. Jadi paling tidak pendapatan kena RM3,000 sebulan.
Dulu Cuepacs minta gaji minimum RM950 tetapi sekarang RM950 itu sudah tidak boleh diukur dengan kos sara hidup sekarang. Paling tidak pun RM1,200. Baru mereka boleh menyimpan dan memberi tumpuan kepada kerja mereka dari 8 pagi hingga 5 petang.
Tidak perlu lagi mereka membuat kerja sambilan di luar waktu pejabat. RM1,200 itu untuk kelulusan yang paling rendah iaitu yang mempunyai kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Jadi untuk peringkat lain, berbeza. Kalau kumpulan bawahan sudah selesai, yang atasan sudah tiada masalah.
SINAR HARIAN ONLINE: Cuepacs menentang dasar baru Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)?
OMAR OSMAN: Kita melihat dasar baru ini hanya memberi masalah kepada pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setiap satu dasar itu mesti dilihat secara menyeluruh. Kita lihat apa implikasinya. Yang mana kalau kita beri peluang kepada pemegang-pemegang ijazah untuk memohon pada tahap SPM, apa perancangan kerajaan untuk pemegang-pemegang SPM? Ke mana mereka mahu pergi? Tahap SPM sekarang bukan macam dulu.
Pemegang SPM juga mempunyai kelulusan yang baik cuma mereka tidak berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Jadi kalau jawatan mereka diambil oleh pemegang ijazah, pemegang SPM ini mahu ke mana? Lama-kelamaan mereka akan jadi penentang. Bilangan mereka ramai. Itu fakta.
Jadi pemegang ijazah ini, esok, dia duduk dengan jawatan SPM, tidak lama. Ia hanya transit sahaja. Mereka akan berhenti bila sudah dapat jawatan yang lebih bagus. Jawatan yang ditinggalkan itu akan ada beban tugas.
Kita mahu kalau berkhidmat saja terus berkhidmat. Kita tidak mahu ada yang berhenti. SPA dah panggil kita bincang. Cuepacs akan hantar laporan kepada SPA terhadap 26 isu yang dibincang.
SINAR HARIAN ONLINE: Pemegang ijazah mencari pengalaman dengan bekerja di peringkat lebih rendah berbanding kelulusan. Apa komen Datuk?
OMAR OSMAN: Pengalamn boleh diperoleh dengan dihantar latihan. Sebab itu kita mahu penjawat awam akan datang, lapor saja diri, kita jangan bagi dia kerja terus. Kita bagi dia jalani latihan selama tiga bulan bagi setiap jabatan dalam agensi tersebut. Kemudian baru ditetapkan apa tugas rasminya.
Baru dia ada pengalaman. Kerajaan belum jalankan. Perkara ini juga akan dibawa kepada SPA. Kita mesti ada perancangan. Setiap lantikan baru kena berada pada tahap-tahap ini. Baru mereka rasa selesa dan tahu peranannya.
PRU13 dan pendirian Cuepacs
SINAR HARIAN ONLINE: PRU13 semakin dekat. Apakah pendirian Cuepacs? Apakah pegangan Cuepacs? Nasihat kepada kakitangan awam? Adakah Cuepacs akan meminta kakitangan awam sokong kerajaan?
OMAR OSMAN: Perkhidmatan awam ini sebuah badan yang tidak boleh berpolitik. Masing-masing ada tandatangan akujanji dan ada etika perkhidmatan awam. Cuepacs satu badan bukan badan bukan kerajaan (NGO), yang didaftarkan bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959. Peranan berasaskan perjuangan hak pekerja. Saya tidak mahu kita dipesongkan dengan berpolitik dalam kesatuan.
Apabila wujud perkara ini, perjuangan kita tidak akan tercapai. Kita sibuk mementingkan kedudukan dan peranan. Perkara ini tidak sesuai dalam konsep kesatuan. Sebagai anggota perkhidmatan awam, jentera penting perkhidmatan, mana-mana saja kerajaan yang kita pilih, penjawat awam akan mengikut arahan dan menjalankan tugas-tugas tersebut.
Kalau penjawat awam nak berkempen, pihak kita boleh ambil tindakan. Sampai masa pilihan raya, sampai masa Parlimen dibubarkan, kita pergilah mengundi, mengikut keyakinan sendiri kepada mana-mana parti politik pemerintah yang ada kini.
Tidak ada slogan dalam perkhidmatan awam yang mengatakan penjawat awam wajib mengundi kerajaan. Cuepacs rasa kerajaan hari ini menunaikan tuntutan Cuepacs. Banyak yang berjaya, jadi tidak ada sebab, kita nak bagi orang lain.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimanapun dengan Datuk sendiri? Datuk disebut-sebut akan bertanding PRU kali ini. Datuk sudah bersedia? Atau kerajaan harus beri jawatan Senator?
OMAR OSMAN: Mengikut dalam sejarah Cuepacs memang ada pemimpin Cuepacs yang bertanding dalam politik. Soal nak jadi calon atau tak jadi calon terserah kepada kerajaan. Kalau mereka mahu wakil pekerja untuk berada dalam parti yang memerintah, untuk menyuarakan hak lebih yakinkan pekerja kepada kerajaan, terpulang. Ia satu transformasi supaya dapat berganding bahu dengan pemerintah termasuk pesara-pesara penjawat awam.
Kalau dicalonkan, tengok dululah. Kita akan bawa ke mesyuarat Kongres Cuepacs. Apa pandangan Kongres kita. Bukan keputusan saya sendiri. Berdasarkan mesyuarat Kongres tiga bulan lepas, Kongres memberi sokongan padu jika wakil pekerja ada dalam Parlimen.
Tidak kira siapa pun yang berkemampuan untuk dicalonkan. Tidak semstinya saya. Kerajaan hari ini memandang Cuepacs rakan kongsi bijak kepada kerajaan. Menyokong dasar kerajaan dan memastikan apa saja dasar kerjaan dijalankan dengan baik. Kita bukan badan pendesak, juga bukan badan penentang kepada kerajaan.
Pengiktirafan itu terpulang kepada kerajaan. Mungkin sekian lama Cuepacs ditubuhkan, 55 tahun yang lalu, belum pernah sejarah Cuepacs berada di tahap itu. Kalau kerajaan beri penghargaan, terserah kepada kerajaan pemerintah.
Bidang kuasa itu daripada parti pemerintah. Kita hanya menjalankan mandat daripada ahli gabungan kita supaya memperjuangkan hak-hak kita.
SINAR HARIAN ONLINE: Sektor swasta lebih baik dari sektor awam atau sebaliknya. Pandangan Datuk?
OMAR OSMAN: Penambahbaikan terhadap perkhidmatan awam memang ada cuma belum lagi capai seratus peratus KPI. Memang ada permasalahan khasnya penjawat awam di peringkat pedalaman.
Mereka masih menggunakan kemudahan lama yang serba kekurangan. Jika hendak dibandingkan perkhidmatan awam dengan swasta, sebenarnya perkhidmatan awam sudah lebih baik daripada swasta.
Oleh sebab itu, ramai pekerja swasta yang mahu berkhidmat dalam sektor awam kerana jaminan jangka masa panjang, gaji yang lebih baik dan mereka sudah nampak sistem bekerja yang lebih baik. Kadang-kadang sektor awam lebih baik dari swasta.
Swasta bagus dalam tahap-tahap tertentu sahaja. Mungkin yang melibatkan publik sahaja. itu kita tak tahu lagi. Bagi perkhidmatan awam, rakyat adalah pelanggan. Melalui aduan juga kita lakukan penambahbaikan melalui situ. masalah memang ada.
Penjawat awam yang tidak bagus, kita amek tindakan.kita buang keje. kita tidak lagi seperti dulu. Apabila ada pekerja yang tidak bagus, tidak boleh bekerjasama kita bagi nasihat, nasihat dan nasihat. Jika pekerja tidak boleh memberi kerjasama kita buang.
0 orang berkata:
Post a Comment