Kedah benar khutbah politik
27 September 2012
Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya berkata, khatib dibenarkan berbuat demikian selagi ia tidak tersasar dari agama Islam.
“Kalau politik itu untuk kebaikan dan mempunyai unsur-unsur keagamaan tidak mengapa. Tetapi sekiranya ia bertujuan untuk mengata seseorang memang tidak dibenarkan kerana boleh menimbulkan kekacauan,” kata kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang khatib yang membaca khutbah Jumaat berunsur politik baru-baru ini.
“Difahamkan, khatib yang berbuat demikian adalah bukan daripada imam yang mendapat pentauliahan daripada Jaik. Sebaliknya dia hanyalah seorang imam atau khatib jemputan.
“Bagaimanapun, Jaik masih belum menerima laporan penuh berhubung perkara itu,” katanya.
Noh berkata, sekiranya imam yang dilantik Jaik membuat kesalahan atau membaca teks khutbah berunsur politik melampau, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib. Bagaimanapun, masih belum ada rekod kesalahan itu di negeri ini.
Berhubung insiden yang berlaku, Jaik akan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan diambil kepada khatib tersebut kerana masih belum mendapat laporan penuh.
“Lagi pun, belum ada mana-mana anak kariah yang datang berjumpa saya untuk melaporkan kejadian yang berlaku dalam masjid berkenaan,” jelasnya.
Menurutnya, kes yang sering berlaku ini adalah kes yang terpinggir berikutan kelewatan buku khutbah dihantar.
“Walaupun begitu, khatib dibolehkan membaca teks khutbah yang lama sementara menunggu buku yang baru diterima kerana isi kandungan teks adalah lebih kurang sama.
“Lagi pun, sekarang ini adalah musim haji. Khatib boleh baca teks yang lama dahulu,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, salah seorang jemaah kesal dengan tindakan khatib jemputan yang mengaitkan isu politik sewaktu menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Abdul Halim, Taman Ria Jaya, Sungai Petani, baru-baru ini.
Menurut laporan itu, bekas Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, beliau khuatir disebabkan tindakan berkenaan akan menimbulkan pecah belah di kalangan jemaah masjid.
“Ada juga kalangan jemaah masjid yang hadir mengeluh, menggelengkan kepala kerana tidak menyangka khatib akan berceramah mengenai isu politik termasuk kejadian baling kasut di Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, di sini, " katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment