Menantu Ghafar silap faham
Adly memegang laporan muka depan Sinar Harian 27 Ogos lalu mengenai desakan supaya Mohamad Sabu mohon maaf.
MELAKA - Pas negeri Melaka mendakwa menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba, Datuk Ahmad Hamzah tersilap faham mengenai ceramah yang disampaikan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Bukit Baru, bulan lalu.
Sambil menegaskan ada beberapa ungkapan tidak wujud ketika ceramah berkenaan disampaikan, Pesuruhjaya Pas Negeri, Adly Zahari berkata, pihaknya mahu Ahli Parliman Jasin itu meneliti semula isi kandungan video ceramah pada 12 Ogos lalu.

Menurutnya, ceramah berkenaan mendapat banyak reaksi daripada pemimpin Umno terutama daripada Ahmad sehingga membawa kepada desakan supaya Mohamad Sabu memohon maaf atas kenyataannya itu.

“Beliau (Ahmad Hamzah) sendiri memetik satu blog  menyatakan sekiranya Tun Ghafar umur panjang, beliau sendiri pun akan masuk Pas seperti anaknya, Tamrin.

“Sebenarnya, jika kita rujuk video, ungkapan ini tidak wujud pun. Paling terbaik adalah untuk Ahmad mendengar dan melihat sendiri video berkenaan,” katanya pada sidang media di Markas Pas Semabok, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Pas negeri, Asri Shaik Abdul Aziz; Ketua Pemuda Pas negeri, Yuhaizad Abdullah dan Setiausaha Pemuda Pas negeri, Shahrin Azam Ismaon.

Sementara itu, Adly berkata, Tamrin sendiri akan mengadakan sesi penerangan di kawasan Jasin, yang juga kubu kuat Umno sejak zaman Ghafar lagi mengenai sebab beliau masuk Pas.

“Sebenarnya Tamrin menghormati keluarganya, namun apabila Ahmad menimbulkan perkara ini maka beliau membuat keputusan membuat penjelasan.
“Beliau akan menjelaskan sebab mengapa beliau tinggalkan Umno dan membuktikan kebenaran mengenai dakwaan memang benar Mohamad Sabu ada melawat Ghafar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, satu ceramah oleh Tamrin dan Mohamad Sabu akan diadakan di Markas Pas Kampung Serkam Darat pada 7 September, jam 8 malam.