Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh
 
SHAH ALAM – Kerajaan Pahang akan kerugian RM60 juta jika perjanjian konsesi penyaluran air mentah dari negeri itu ke Selangor dibatalkan.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, dalam perkara itu, Selangor tidak akan kerugian kerana tidak perlu membeli air mentah.


Malah menurutnya, Pahang sebaliknya yang berkemungkinan dikenakan penalti kerana melanggar perjanjian.


“Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 23 September lalu mengugut akan membatalkan perjanjian menyalurkan air mentah ke Selangor jika negeri itu  terus berdegil tidak meneruskan projek Langat 2.


“Adnan tersilap pandang dengan menganggap bahawa Selangor kekurangan air mentah. Yang sebenarnya, Selangor mempunyai bekalan air mentah yang cukup. Yang kurang di Selangor ialah air terawat, bukan air mentah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan mendakwa, punca Selangor kekurangan air terawat kerana syarikat konsesi air, Syabas tidak menjalankan tugas dengan baik.


“Ia merupakan asas kenapa Kerajaan Negeri Selangor bertegas mahu mengambil alih pengurusan air di Selangor. Dengan itu, Selangor langsung tidak akan rugi apa-apa jika Pahang membatalkan perjanjian membekalkan air.


"Sebaliknya Selangor lebih beruntung kerana tidak terbeban dengan terpaksa membeli air mentah dari Pahang yang tidak diperlukan,” katanya.

 
Selain itu, Fuziah mendakwa projek Langat 2 yang bernilai RM8.6 bilion itu hanya usaha untuk memberi projek kepada syarikat kroni.

“Kerajaan Selangor juga mengandaikan bahawa harga air akan naik 100 peratus selepas Langat 2 siap nanti, justeru itu merugikan rakyat Selangor.

 “Jalan penyelesaian masalah air di Selangor ialah dengan penstrukturan semula industri air di Selangor dan memastikan tiada air terawat yang dibazirkan,” katanya.