IGP: Tiada tanda pengganas Sulu mahu letak senjata api
KUALA LUMPUR - Tiada insiden tembakan dilaporkan berlaku di Kampung
Tanduo, Lahad Datu, dalam tempoh 24 jam lalu selepas empat hari pasukan
keselamatan negara melancarkan gerakan ofensif terhadap penceroboh
militan Sulu di bumi Sabah.
militan Sulu di bumi Sabah.
Malah, pimpinan tertinggi polis dan tentera sempat menunaikan solat
Jumaat dan solat sunat hajat bersama kira-kira 200 jemaah di Masjid
Al-Hudah, Felda Sahabat 16, di Lahad Datu.
Kawasan Felda Sahabat 16 adalah markas operasi pasukan keselamatan pada
Op Daulat dan terletak kira-kira 20km dari Kampung Tanduo yang menjadi
kubu penceroboh militan sejak 12 Februari lepas.
Gerakan Op Daulat masuk hari keempat hari ini dengan helikopter
digunakan untuk menghantar anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi
operasi menggeledah manakala jet-jet pejuang berlegar di udara membuat
tinjauan.
Walaupun tiada tanda-tanda kumpulan itu akan meletak senjata tanpa
syarat oleh saki baki kumpulan itu dan dan pasukan keselamatan masih
meneruskan operasi susulan, suasana di Lahad Datu mula kembali normal
dengan orang ramai mula menjalani rutin harian mereka.
"Selepas insiden pertempuran di Kampung Tanjung Batu (kira-kira 15
kilometer dari Felda Sahabat 16) pada 11.30 pagi semalam yang
menumpaskan 31 penceroboh, tiada tanda mereka mahu letak senjata api,"
kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Felda
Sahabat 16, kira-kira 130km, dari pekan Lahad Datu, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang meninjau
markas 'Op Daulat' di Felda Sahabat, berkata Malaysia menolak sebarang
tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi
penceroboh itu ialah menletak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.
Sepanjang operasi pasukan keselamatan sejak 1 Feb, polis menahan 79
orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian pencerobohan itu.
Ismail berkata lebih 50 orang itu ditahan mengikut Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) yang baru dikuatkuasa tahun lepas.
"Mereka ditahan mengikut akta baru itu dan dibaca bersama (beberapa seksyen) Kanun Keseksaan," katanya.
Najib, yang turut mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah
merangkumi Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu juga dilihat
meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan mereka di kawasan
pantai timur Sabah itu.
Selasa lepas, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara
menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah
menamatkan krisis pencerobohan kumpulan militan selatan Filipina yang
mendakwa sebagai Askar Kesultanan Sulu.
Setakat ini 52 militan disahkan terbunuh.
Insiden itu turut mengorbankan lapan anggota polis iaitu dua dalam
pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serangan
hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada hari berikutnya.
0 orang berkata:
Post a Comment