Pencerobohan pengganas di Lahad Datu pengajaran berguna buat Malaysia — Najib
KUALA LUMPUR, 12 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar)
menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa
yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat
Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan
persiapan untuk menghadapi ancaman luar.
Sambil
menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan tentang
keselamatan negara, beliau berkata segala usaha akan dilakukan untuk
memastikan pasukan keselamatan diberi latihan yang sebaik mungkin,
dilengkapi peralatan lebih canggih dan sentiasa bersedia untuk menangani
kejadian seperti itu.
“Saya rasa kita telah menikmati suasana aman dan stabil yang begitu
lama di Malaysia. Komunis meletak senjata pada 1989 dan sejak itu,
Malaysia dilimpahi suasana aman dan stabil dalam tempoh yang cukup
panjang.
“Kejadian itu (serangan di Lahad Datu dan Semporna) merupakan ancaman
luar dan kita perlu menanganinya. Jadi, sekiranya kami membuat
keputusan menambah perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan,
janganlah rakyat mempertikaikannya pula.
“Mereka perlu melihatnya sebagai langkah untuk melindungi
keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah kita,” katanya dalam
program ‘Conversation with the PM’ melalui TV3 malam ini.
Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi tentang
keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia, perdana menteri
berkata:
“Kita perlu berusaha sedaya upaya untuk memastikan rakyat Malaysia,
tanpa mengira di mana mereka berada di negara ini, berasa selamat,
terjamin dan masa depan mereka juga dipelihara oleh kerajaan.”
Pasukan keselamatan Malaysia melancarkan ‘Operasi Daulat’ pada 5 Mac
selepas pengganas Sulu membunuh lapan anggota polis di Kampung Tanduo
dekat Lahad Datu dan Kampung Simunul di Semporna pada 1 dan 2 Mac.
Kumpulan pengganas itu bersembunyi di Kampung Tanduo sejak 12 Feb dan
tidak mengendahkan sikap baik kerajaan yang sedia berunding tentang
penyerahan diri mereka.
Sehingga kini, 54 pengganas terbunuh dan kira-kira 100 orang ditahan
kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas bersenjata
itu.
Najib seterusnya menegaskan bahawa usaha menjamin keselamatan negara
bukan sahaja menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan dan kerajaan,
tetapi juga semua rakyat Malaysia melalui peranan masing-masing,
termasuk memberi sokongan kepada kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia
memiliki kemampuan dan aset yang mencukupi untuk melindungi
keselamatannya.
“Saya rasa, untuk menangani pencerobohan bersenjata, kita memiliki
aset yang diperlukan, tapi, seperti yang saya nyatakan tadi, peristiwa
ini membuka mata kita, di mana terdapat jurang dari segi kemampuan kita,
dan kita harap akan dapat merapatkan jurang ini,” kata Najib.
Beliau berkata memandangkan timur Sabah mempunyai lantai laut
sepanjang lebih 1,000 km, maka negeri itu menghadapi “cabaran besar”
dari segi keselamatan dan sejajar dengan itu, langkah lebih ketat perlu
diambil.
“Kita pastinya perlu mempunyai lebih banyak aset dan sistem pengawasan yang lebih berkesan (di sana),” kata beliau.
Ketika melawat Lahad Datu baru-baru ini, Najib mengumumkan penubuhan
satu kawasan keselamatan khas yang merentas dari Kudat ke Tawau —
kira-kira sepanjang 1,400 km — untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan
di timur Sabah.
Diminta mengulas dakwaan media asing bahawa pengganas Sulu bertindak
demikian kerana dihasut pihak tertentu di Filipina, termasuk mereka yang
menentang presidennya, Najib berkata:
“Apabila saya bercakap dengan Presiden (Benigno) Aquino, beliau
memberitahu saya bahawa pihak mereka akan memulakan siasatan.
Sebenarnya, beliau membuat kenyataan yang sungguh menarik iaitu mereka
terdiri daripada golongan yang agak miskin.
“Sudah tentu mereka tidak memiliki kemampuan untuk melancarkan
operasi seperti itu terhadap Malaysia dan oleh itu, beliau berpendapat
mereka mendapat pembiayaan dari tempat lain.
“Apa yang disyaki itu nampaknya mempunyai asas yang cukup kuat, tapi
kita perlu membuat siasatan dan bukti yang secukupnya perlu diperoleh
sebelum kita boleh menuding jari kepada sesiapa,” katanya.
Ditanya sama ada serangan pengganas di Lahad Datu akan menjejaskan
peranan Malaysia dalam proses damai di selatan Filipina, Perdana
Menteri berkata ia merupakan dua isu berlainan kerana proses damai itu
melibatkan kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Najib berkata pengganas di Lahad Datu agak berbeza daripada MILF dan
mereka membuat tuntutan yang aneh dan tidak diiktiraf kerajaan Malaysia.
“Sebab itulah mereka menggunakan keganasan dan ini sesuatu yang
mendukacitakan. Bagaimanapun, kita akan tangani perkara ini dengan cara
yang kita fikir wajar,” katanya. — Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment