• Gambar hiasan Gambar hiasan
1 / 1
KUALA NERUS - Lantaran tidak dapat turun ke laut semasa musim tengkujuh ini, Zakaria Abdul Rahman, 44, seperti nelayan lain di Kampung Seberang Takir di sini terpaksa menumpukan usaha membuat bubu untuk menampung hidup.
  
Beliau yang sudah sebulan tidak ke laut berkata, bubunya dibuat bukan sahaja untuk dijual tetapi sebagai persediaan bagi digunakan sendiri apabila musim tengkujuh berakhir.

Bubunya dijual antara RM150 hingga RM200 sebuah berdasarkan saiz dengan menggunakan kayu sengat keli dan sungkai sebagai penyokong bubu, katanya kepada Bernama.

"Kami (nelayan) selalu guna dua jenis kayu ini kerana berkualiti dan tahan lama walau berbulan-bulan terendam dalam air laut," katanya dan menambah namun pembuat bubu semakin sukar mendapat kayu jenis ini.

Zakaria berkata, beliau terpaksa pula membeli kayu untuk menghasilkan bubu dengan harga yang tinggi.

"Sebatang kayu sepanjang dua meter berharga RM1.30 dan lima hingga tujuh batang kayu diperlukan untuk menghasil sebuah bubu. Bila kayu berkurangan, sukar untuk membuat bubu," jelasnya.

Mengenai cabaran membuat bubu, beliau berkata ia sangat rumit dan memerlukan kemahiran bagi memastikan ikan yang masuk ke dalam bubu tidak mudah terlepas.

Cabaran lain ialah banyak berlaku kecurian bubu kerana ada pihak mengambil kesempatan apabila mendapati banyak ikan terperangkap di dalam sesebuah bubu itu.

"Risiko hasil tangkapan dan bubu dicuri sangat tinggi bila ada nelayan yang hendakkan hasil dengan mudah, lalu mereka bertindak menukar pelampung yang digunakan untuk menanda sesuatu bubu dengan pelampung lain.

"Pernah sekali saya tahan ikan dengan 18 bubu, tetapi bila nak angkat, hanya 10 yang tinggal, lapan lagi telah dicuri," katanya sambil ketawa kecil.    
Namun Zakaria yang tidak serik dengan kehilangan bubu berkata, penggunaan bubu lebih mudah berbanding peralatan lain kerana bubu hanya perlu diletak di kawasan yang mempunyai tukun tiruan selama beberapa hari sebelum mengangkatnya beserta hasil tangkapan.
  
"Tetapi bergantung kepada nasib juga. Ada kala walaupun bubu ditahan di kawasan banyak ikan, tapi ikan langsung tak masuk," katanya. - Bernama