• Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
1 / 1
KUALA LUMPUR - PR terus berpegang teguh kepada Maqasid Syariah selagi mana Kerajaan Negeri Kelantan tidak memberikan salinan draf pindaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 untuk dibincangkan bersama.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehingga kini beliau tidak pernah melihat draf enakmen tersebut dan kerana itu hukum hudud sukar dilaksanakan khususnya di Kelantan.

"Keutamaan kita ialah untuk mewujudkan keadilan, keamanan, bebas korupsi, tadbir urus kerajaan yang baik, sistem kehakiman yang bebas dan bebas bersuara.

"Bagaimana kita hendak melaksanakan apa saja undang-undang kalau kita tidak mempunyai sistem kehakiman yang bebas, kebebasan media dan bersuara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Belia Antarabangsa ke-12 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keutamaan PR apabila Pas berhasrat meminda enakmen tersebut dalam sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember lalu namun dibatalkan kerana masalah bencana banjir.

Anwar berkata lagi, selagi beliau tidak melihat sendiri draf enakmen hukum hudud Kelantan itu, sukar untuk menyatakan pendiriannya sebelum dibentangkan kepada pimpinan PR yang lain.

"Kalau saya ditanya secara pendirian umum, saya boleh kata keutamaan kita ialah keadilan, keamanan, hentikan diskriminasi, hentikan sentimen perkauman, memelihara kesucian Islam dan menuntut sistem kehakiman yang bebas," katanya lagi.