• Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
1 / 2
SHAH ALAM - Keputusan Pas menolak pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang bukan pendirian peribadi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya ia pendirian rasmi parti.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpendapat, amat malang sekiranya perkara itu tidak difahami oleh pimpinan Pas sendiri.

“Pas sejak lama menolak pilihan raya PBT. Ia bukan pendirian peribadi presiden Pas. Jika ada yang menganggapnya sebagai pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti, maka ia adalah salah dan amat malang jika ia tidak difahami oleh pemimpin Pas sendiri.

“Demokrasi jangan ditafsirkan sebagai jalan menuju keadilan melalui pilihan raya semata-mata atau menganggap ketidakadilan hanya boleh dihapuskan melalui pilihan raya semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: DAP ulangi kesilapan 13 Mei, kata Hadi]

Mengulas lanjut, beliau menyebut bahawa Pas memahami demokrasi dalam kerangka pandangan Islam yang lebih adil.

“Ia mensasar (untuk) mencapai keadilan, bukan merajakan jalan-jalan menuju keadilan yang boleh berubah-berubah dan diikat dengan syarat dan kesesuaian.

“Negara barat yang mempromosi demokrasi berpilihan raya, negara itulah juga yang menegaskan hak veto untuk mereka sendiri di PBB yang mematikan hak majoriti dalam memutuskan keputusan,” katanya lagi.
Katanya, ia jelas zalim. Jika pilihan raya ditolak dengan tujuan melihat kepada jalan keadilan yang lebih baik daripadanya, maka ia adalah lebih utama untuk diterima.

Beliau turut menyentuh mengenai sistem beraja di negara ini yang dikaitkan dengan sistem keadilan.

“Keadilan dicapai pada zaman Rasulullah. Ia dicapai pada zaman sistem khilafah. Ia juga dicapai pada zaman beraja seperti zaman Umar Abdul Aziz dan raja-raja selepasnya. Ia juga dicapai dalam sistem demokrasi hari ini yang dicedok asalnya daripada sistem syura Islam yang adil di sepanjang zaman.

“Anda perhatikan, adakah negara kita perlu menukar sistem beraja demi mencapai keadilan dengan alasan dengan adanya raja, maka keadilan akan terbantut selamanya?

“Jika begitu, kita sudah terlalu jauh merajakan demokrasi dan pilihan raya. Islam menolaknya,” katanya.