• gari
1 / 1
PETALING JAYA - Dua pengawal keselamatan warga Filipina masing-masing dikenakan hukuman sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki kad pengenalan (MyKad) palsu.
  
Mereka didakwa di dua mahkamah berlainan.
  
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh Totoh Sabatal, 40 dan Yusri Sabiron, 41, menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan memerintahkan mereka dihantar ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.
  
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Totoh selepas dia mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu atas nama Abdulzan Ludjuman, 43, sebagai dokumen pengenalan dirinya.
  
Totoh, didakwa melakukan kesalahan itu di Bayan Villa, Guard House 2, Seri Kembangan, pukul 1.15 pagi tadi dan didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (e) dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Majistret K.B.Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman terhadap Yusri selepas dia turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan sama dengan menggunakan MyKad atas nama Norazman Abdillah, 43, sebagai pengenalan dirinya di tempat dan waktu sama.

  
Kedua-dua kes itu dikendalikan pegawai pendakwa dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zubaidah Zahol Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
  
Pada 28 Oktober lalu, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa JPN akan memeriksa kad pengenalan semua pengawal keselamatan di negara ini bagi mengesahkan identiti mereka.
  
Langkah itu diambil susulan kejadian seorang pengawal keselamatan, dipercayai warga asing, menembak mati seorang pegawai wanita dalam insiden rompakan di Ambank cawangan Subang Jaya, 23 Okt lepas.
  
Suspek berkenaan dipercayai menggunakan MyKad palsu untuk mendapatkan pekerjaan tersebut.  - Bernama