Sepatutnya Naikkan "Peruntukan YB", Bukan Naikkan Gaji!
Selangor tidak akan tangguh kenaikan gaji, kata MB
Kerajaan negeri Selangor hari ini menegaskan pendirian mereka untuk tidak menangguhkan kenaikan gaji yang dijadualkan bermula 1 Januari tahun depan kerana telah mendapat persetujuan 100% Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, kedua-dua Adun daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berhubung kenaikan tersebut, dan Dewan telah bersetuju perkara itu akan dilaksanakan.
"Saya tak akan pertimbangkan. Ia telah diputuskan Dewan," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN di Shah Alam, hari ini.
Malah, Abdul Khalid menegaskan, sebelum perbahasan berkenaan perkara itu dilakukan, beliau telah memaklumkan kenaikan gaji itu hanya akan dilakukan dengan persetujuan Adun PR dan BN.
Adun Pelabuhan Klang itu bagaimanapun berkata, sekiranya ada mana-mana ahli Dewan yang tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut, boleh menyalurkan lebihan pendapatan mereka kepada saluran-saluran lain.
"Adun PR dan BN semua setuju. Semasa dibahaskan tiada bantahan daripada mana-mana pihak.
"Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," katanya.
Beliau turut berkata, sehingga hari ini, selain Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, tiada pihak lain yang menggesa beliau untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut.
Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Selangor hari ini menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan adun negeri itu agar penilaian semula dengan kadar berpatutan dapat dilakukan.
Azmin berkata biarpun BBC tidak menolak kenaikan gaji tersebut, kadar yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah terlalu tinggi.
Menurut Adun Bukit Antarabangsa itu, sepanjang tempoh cadangan pelaksanaan kenaikan gaji, Abdul Khalid tidak pernah berbincang dengan BBC.
"Kita tidak tahu bagaimana pelaksanaannya dan kerajaan negeri sudah umumkan semalam. Tidak ada perbincangan langsung yang dibuat bersama BBC," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.
Pagi tadi, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar turut mengulas mengenai kenaikan berkenaan dengan menyifatkan ia terlalu tinggi dan mendadak.
Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kadar yang digunakan kerajaan negeri Selangor adalah berdasarkan kadar gaji di Sarawak, dan jumlah berkenaan adalah munasabah.
"Bagi sesetengah orang ini mungkin dah banyak tetapi bagi mereka yang berada dalam sektor swasta, ia tidak tinggi. Ini munasabah," katanya.
"Kita tidak boleh sorokkan pendapatan. Kita sudah setuju pendapatan kita akan umumkan," kata Adun Pelabuhan Klang itu lagi.
Malah, Abdul Khalid turut berkata, pendapatan mereka yang berada dalam sektor swasta juga melebihi gaji menteri.
"Kerajaan persekutuan juga guna konsultan daripada orang swasta. Pendapatan mereka ada kalanya yang jauh lebih tinggi daripada menteri. Jadi maknanya sudah ada penerimaan tentang gaji yang munasabah," kata Abdul Khalid.
DUN Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota Dun berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.
Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.
Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.
Abdul Khalid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak. -TMI
MB pertahan kenaikan gaji exco, ADUN S'gor
Kenaikan gaji bagi wakil rakyat Selangor bertujuan supaya mereka tidak lagi perlu membuat kerja luar untuk mencari pendapatan tambahan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini
Kenaikan pendapatan tersebut, katanya, adalah sesuai untuk wakil rakyat dan exco kerajaan negeri kerana tidak mahu mereka membuat kerja luar untuk menampung perbelanjaan mereka.
"Ini telah berlaku (sebelum ini)," kata Khalid kepada media di lobi Dewan Undangan Neger (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.
Menurut Khalid, beberapa menteri persekutuan juga mungkin perlu mencari pendapatan tambahan untuk kerja-kerja politik mereka.
Katanya, walaupun mendapat gaji seorang menteri (selain elaun MP atau senator), mereka kadang-kadang mungkin perlu mendapatkan duit dari luar, untuk membayar bagi kerja-kerja mereka.
Khalid mempertahankan kenaikan pendapatan tersebut sebagai "tidak tinggi" dan "munasabah", berbanding dengan upah di sektor swasta.
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil kira bantahan rakyat berhubung perkara ini.
Oleh itu, katanya, ia memilih gaji ADUN Sarawak sebagai asas dan memutuskan kadar 30 peratus lebih rendah untuk ADUN Selangor.
Walaupun kedua-dua negeri itu mempunyai rizab kewangan, Khalid berkata, Selangor lebih besar daripada Sarawak dari segi prestasi ekonomi. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan menteri besar Selangor berkata kenaikan gaji antara 80 hingga hampir 400 peratus itu dibuat selepas mengkaji pelbagai faktor termasuk mengambil kira kenaikan yang diterima ADUN serta anggota pentadbiran negeri Sarawak.
"Kita naikkan gaji di Selangor kerana tidak mahu wakil rakyat kita buat kerja luar untuk tampung perbelanjaan mereka.
"Saya berpendapat kenaikan ini munasabah sebab kita hendak (beri) servis kepada rakyat. Malah, kalau di sektor swasta, gaji seperti ini tidak tinggi. Kita juga tidak boleh sorok pendapatan sebab kita setuju setiap harta dan pendapatan mesti diumumkan, biar rakyat tahu," katanya.
Abdul Khalid turut menafikan yang gajinya lebih tinggi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Gaji di Selangor dikira berdasarkan formula 75 peratus daripada kenaikan yang diterima di Sarawak.
"Sebagai contoh kalau gaji ketua menteri Sarawak RM39,000, gaji menteri besar di Selangor ialah RM29,000.
"Selain itu, sejak lima tahun lepas kita dapat kutip hutang yang sebelum ini gagal dikutip kira-kira RM500 juta. Dengan 10 peratus daripada hasil kutipan hutang ini, kita sudah dapat bayar gaji ini," katanya. -mk
ULASAN GB
Negeri yang kaya seperti Selangor mempunyai haknya sendiri untuk menaikkan gaji para ADUNnya. Dengan rizab mencecah hampir RM3 billion, sepastinya Selangor tidak ada masalah untuk kenaikan gaji berkenaan.
Namun, rezab yang tinggi itu sepatutnya dapat dinikmati oleh "rakyat Selangor" juga secara keseluruhannya.
Tan Sri Khalid Ibrahim, MB Selangor mempertahankan kenaikan gaji berkenaan dengan alasan supaya wakil rakyat Sleangor tidak perlu membuat "kerja luar" untuk melaksanakan tugas-tugas memreka.
"Kerja luar" yang dimaksudkan berkemungkinan kerja-kerja yang boleh dikategorikan sebagi "komisyen" dan "korupsi" termasuklah membotakkan bukit untuk memunggah tanah, mengorek sungai untuk dikaut pasirnya dan yang seumpamanya.
Dengan alasan untuk menjalankan tugas YB memerlukan banyak belanja terutama untuk melayani permintaaan rakyat, bagi pandangan GB, daripada menaikkan gaji dengan "terlalu tinggi dan mendadak" kepada YB-YB, mengapakah kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid tidak memikirkan untuk menaikkan "peruntukan untuk YB"?
Ada beza di antara kedua-duanya. Dengan kenaikan peruntukan YB di satu-satu DUN, rakyat setempat dapat menikmati hasil negeri Selangor tetapi dengan hanya menaikkan gaji YB, rakyat belum tentu dapat merasainya kerana ia adalah "hak milik peribadi" YB berkenaan.
Jika peruntukan untuk YB dinaikkan berapa banyak sekalipun, ia akan disambut dengan meriah oleh sekalian rakyat Selangor. Korupsi boleh berlaku? Ya, tetapi peruntukan sentiasa boleh diaudit untuk mempastikan ia tidak disalahgunakan.
Bukan GB menentang kenaikan gaji itu, tetapi kenaikan itu biarlah berpada-pada. Separuh dari kenaikan tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat di dalam bentuk peruntukan YB.
Seperkara lagi, Selangor tidak perlulah mendabik dada kerana menjadi negeri terkaya dan rezab terbanyak dengan meningkatkan gaji begitu tinggi, kerana langkah tersebut amat menyusahkan Pakatan Rakyat di tempat lain untuk mempertahankannya. Di saat kita menentang pembaziran dan belanja besar kerajaan UMNO BN di peringkat pusat dan negeri, tiba-tiba Selangor pula tidak dapat menjadi contoh yang baik di dalam apa yang kita sebutkan "belanja berhemah".
Jawapan Tan Sri Khalid: "Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," terhadap saranan YB Azmin Ali supaya ditangguhkan dahulu kenaikan gaji itu agak dikesalkan. Nadanya kedengaran angkuh dan sombong.
Beringatlah, berapa banyak kerajaan yang kaya-raya akhirnya tumbang dan musnah kerana keangkuhan dan kesombongannya. Itu hukum kebenaran dan keadilan!
1 orang berkata:
Marilah berfikir positif terlebih dahulu sebelum memikirkan hal negatif. Bagi WR yg ikhlas sentiasa bersedia untuk membantu rakyat yg diwakilinya tanpa mengira l/belakang parti seseorang. Dgn wang mudah tunai ditangan tentu shj mudah baginya cepat membantu, itu dinamakan kebajikan secara langsung. Berbeza dgn peruntukan, ia terpaksa melalui beberapa proses walaupun amaunnya kecil. Bagi WR yg hanya hendak mengumpulkan harta pula, ianya tidak pula salah, kerana wang tersebut bukan dikategorikan sebagai rasuah (diharapkan rasuah sifar). Persepsi umum tidak akan memandang serong dlm hal ini. Pada masa yg sama, ia boleh mengelakkan tugas auditan menjadi lebih sibuk. Mungkin itu sebahagian asas Kerajaan Negeri, supaya WR dapat menumpukan lebih masa mengatasi masalah rakyat. Akhirnya hanya faktor manusia dlm diri WR shj menjadi penentu.
Post a Comment