• Anthony Loke Siew Fook Anthony Loke Siew Fook
1 / 1
DAP menyeru pimpinan Pas Pusat mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri dari cadangan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat (PR) di seluruh negara terhadap Pas.
 
DAP amat terkilan dengan pendedahan mesej Dr Zuhdi dalam “Whatsapp AJK PAS Pusat” yang berbunyi:
 
“Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi Adun PKR+12 Umno, dah bentuk simple majoriti. Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB.
 
Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serbuan, kalimah ALLAH, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini”
 
Yang pertamanya, Dr Zuhdi tidak menafikan menulis mesej tersebut tetapi cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa apa yang ditulis oleh beliau adalah “analisis senario” kepada cadangan oleh seorang pemimpin kanan Pas supaya Pas keluar dari PR.
 
“Analisis” sebegini lebih-lebih lagi dari seorang pemimpin Pas pusat adalah sangat tidak bertanggungjawab dan ada unsur-unsur membelot kepercayaan rakyat.
 
Walaupun cadangan untuk kekal atau keluar dari PR adalah hak pimpinan Pas, namun cadangan untuk bergabung dengan Umno dan membentuk kerajaan negeri Selangor adalah satu pengkhianatan bukan sahaja kepada PKR dan DAP, tetapi juga kepada rakyat Selangor yang telah memberikan mandat yang jelas kepada PR dalam PRU13.
 
Mana-mana pemimpin yang berfikiran sebegitu dan melontarkan cadangan tersebut perlu dikutuk dengan sekeras-kerasnya.
 
Saya ingin mengingatkan Dr Zuhdi bahawa kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Pas di Selangor adalah di bawah payung PR kerana ketiga-tiga parti Pas, PKR dan DAP bertanding dalam PRU13 dengan manifesto bersama PR.
 
Yang keduanya dan lebih mendukacitakan ialah seorang Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas yang sepatutnya diamanahkan sebagai “think tank” kepada Pas boleh “mengimaginasi” untuk “menjentik DAP, gereja dan non Muslim” apabila ada pandangan yang berbeza.
 
Ke mana perginya sifat keterbukaan dan toleransi dalam slogan “Pas for ALL”?
 
Saya juga tidak pernah ada imaginasi bahawa seorang pemimpin Pas boleh “mengimaginasi” seperti Umno untuk mengembalikan kuasa politik Melayu Islam melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya.
 
Cadangan dan pemikiran Dr Zuhdi ini amat mencemarkan imej positif Pas yang selama ini dilihat sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan keadilan dan kuat berpegang kepada prinsip.
 
Saya yakin majoriti pemimpin Pas Pusat amat tidak bersetuju dengan cadangan dan pandangan Dr Zuhdi.
 
DAP menyeru pimpinan Pas Pusat untuk mengambil satu pendirian yang tegas untuk menjauhkan diri dari cadangan Dr Zuhdi dan mengambill tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong PR di seluruh negara terhadap Pas.
 
 
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Setiausaha Organisasi DAP
29 Julai 2014