Wasatiyyah tidak sama dengan liberalisme
KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menolak tanggapan pihak yang menyamakan pendekatan wasatiyyah dengan liberalisme.
Kerajaan menarik perhatian bahawa formula wasatiyyah yang
dipraktikkannya merangkumi beberapa elemen tunjang berupa kesederhanaan,
berimbang dan mementingkan kecemerlangan yang sekali gus membawa
pembangunan kepada masyarakat secara menyeluruh berdasarkan ajaran
Islam.
"Adalah tidak tepat untuk sesetengah pihak sengaja menyamakan konsep
wasatiyyah atau kesederhanaan dengan konsep liberalisme kerana
intipatinya jelas berlainan," demikian tegas ahli sains politik Dr
Chandra Muzaffar.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia
berkata kesederhanaan merupakan pendekatan terbaik untuk menangani
isu-isu berkaitan, sebaliknya liberalisme jika tidak dipantau, mempunyai
potensi untuk menjurus ke arah ekstremisme.
"Wasatiyyah atau 'moderation' sentiasa memilih jalan tengah. Ia boleh
disifatkan sebagai usaha untuk mengimbangi semua kepentingan untuk
mencari jalan yang boleh disifatkan sebagai muafakat antara semua.
"Liberalisme pula merupakan fahaman yang wujud dari Eropah pada kurun
ke-18 di mana ia menekankan kebebasan individu, kebebasan bersuara,
berpersatuan, berhimpun dan sebagainya," kata Chandra Muzaffar.
Beliau yang juga Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan
(JUST) menegaskan sekiranya masyarakat negara ini menganggap liberalisme
sebagai nilai unggul dan tidak boleh dipersoalkan kerana terdapat
elemen kebebasan, maka ia adalah bercanggah sama sekali dengan nilai-
nilai agama dan budaya yang diamalkan di negara ini.
Pendekatan wasatiyyah adalah penting bagi menolak sifat taksub, fanatik
dan fahaman melampau yang menyebabkan masyarakat menjadi jumud sehingga
tidak boleh melihat sesuatu yang dibangkitkan secara umum, jelasnya.
"Tidak boleh dinafikan ada sesetengah elemen dalam konsep liberalisme
boleh memberi nilai tambah kepada wasatiyyah. Wasatiyyah bermakna
keseimbangan dan satu keadaan yang adil kerana kita melakukan sesuatu
perkara dengan seimbang.
"Dan harus kita memperkukuhkan idea itu dengan idea lain yang tidak
bercanggah dengan roh perlembagaan. Sebaliknya ada kemungkinan, dalam
berpegang kepada liberalisme ia boleh menjadi ekstrem. Sebagai contoh
apabila kita mula menganggap kebebasan itu sebagai sesuatu yang mutlak,
mengejar kebebasan sebagai nilai yang unggul, sehingga kita anggap ia
sebagai tidak boleh disekat, dibatasi oleh apa-apa pertimbangan yang
lain," tegas beliau. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment