• Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
1 / 1
SHAH ALAM - Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, beliau menolak sama sekali hujahan bahawa pemberian subsidi kepada rakyat sebagai faktor yang membebani ekonomi negara.

Jelasnya, pemberian subsidi tidak membawa masalah sebaliknya faktor hutang, pemborosan serta amalan yang tidak bertanggungjawab yang lain menjadi punca ekonomi negara berada dalam keadaan teruk.

“Pada tahun 1970-an, memberi subsidi adalah tanggungjawab kerajaan untuk menjaga keselesaan hidup rakyat. Dan kerajaan juga tidak mengungkit subsidi yang ditanggungnya.

Sekarang ini keadaannya sudah jauh berubah. Memberi subsidi kepada rakyat adalah satu beban kepada negara,” katanya sepertimana yang dipetik menerusi laman sosial Facebooknya.

Mengulas lanjut Agus berkata, apabila beliau menjelaskan perkara tersebut, akan ada ‘suara’ yang menafikannya.

“Tetapi apabila faktor ini yang saya hujahkan, maka akan ada yang muncul untuk menafikannya. Tidak cukup dengan itu, hujah saya pula dituduh sebagai suara pembangkang.
 

“Saya juga akan dituduh sebagai tidak faham rasionalisasi, apungan terkawal dan pelbagai lagi istilah ekonomi. Saya juga akan dituduh tidak faham keburukan subsidi seperti mengalakkan penyeludupan, penyelewengan dan lainnya. Biarlah.,” katanya.

Jelasnya lagi, apa yang dilihatnya sekarang adalah nasib rakyat yang semakin terbeban dari hari ke hari.

“Rakyat juga keliru dengan sistem subsidi kerajaan, sekejap mengurangkan subsidi, sekejap memperkenalkan rasionalisasi dan sekejap menghapuskan subsidi dan memperkenalkan apungan terkawal.

“Saya bertanyakan kenalan saya, mengapa dasar subsidi kerajaan tidak konsisten? Kawan saya menjawab, sistem subsidi dan ekonomi perlu fleksibel. Saya diam biarpun saya boleh terus berhujah.

“Pun begitu, hati saya terus berkata mengapa perlunya kerajaan kalut dengan subsidi ini? Bukankah subsidi ini boleh meringankan beban rakyat? Aduh!,” katanya.

Baru- baru ini kerajaan melalui Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, (KPDNKK) mengumumkan mulai 1 Disember, tiada lagi subsidi untuk RON95 dan diesel.

Sebaliknya kerajaan menggunakan  kaedah pengapungan terkawal bagi mengantikan sistem pemberian subsidi terhadap bahan api tersebut.