Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

PAS YANG RAKYAT MESTI TAHU

63 tahun: PAS tidak pernah khianat rakan tahaluf


SAMBUTAN 63 tahun PAS perlu diadakan kerana ia boleh dijadikan medan untuk memperkukuhkan parti. Justeru, semua pihak dalam PAS perlu memainkan peranan berkesan ke arah itu. Isu politik Selangor turut dilihat mempunyai hikmah tersendiri kerana ke semua pihak dalam PAS kini mahu aktiviti tarbiyah dan usrah diperkasakan lagi. Tahaluf siyasi PAS dengan Pakatan Rakyat pula perlu diteruskan kerana ia selari dengan amanah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dan pendekatan Islam adalah rahmat. 


HARAKAH: PAS akan mengadakan sambutan sempena 63 tahun penubuhannya pada 29 hingga 30 November ini. Pada pandangan Ustaz, apakah PAS perlu mengadakan sambutan itu?  


USTAZ DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Kita rasa sangat perlu sambutan itu diadakan. Pertama, untuk memberikan pendedahan tentang sejarah perjuangan PAS terutama sekali kepada ahli-ahli baru supaya mereka tahu sejarah perjuangan PAS, jatuh bangun PAS sejak ditubuhkan dulu hingga sekarang. Perjuangan PAS bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam dakwah. Sejarah perjuangan PAS itu amat penting didedahkan untuk dihayati generasi baru. PAS bukan melalui perjuangan yang senang. Sejak ditubuhkan dulu, ada pemimpinnya yang dipenjarakan dan dibunuh. Ini perlu dihayati dan difahami generasi baru.  


Kedua, untuk mewujudkan muafakat di kalangan pimpinan PAS sebab dalam PAS sebenarnya tak ada kelompok tertentu, tidak seperti yang disebut oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan golongan ulama dan golongan profesional dalam PAS. Sebaliknya semua ahli-ahli PAS berada dalam satu jemaah dalam PAS. 


Ketiga, bagi mempertingkatkan momentum di kalangan ahli-ahli PAS untuk menghadapi PRU ke-14 yang pasti lebih mencabar.  


Bagaimana pencapaian PAS dalam politik pada pandangan Ustaz sejak dulu hingga sekarang?

Saya tengok ada pencapaian yang sangat baik dari segi politik dalam PAS, terutama terhadap sayap PAS sehingga sayap PAS dah buat semua perkara yang diperlukan dalam bidang pendidikan. Sekarang dalam pendidikan, PAS dah berjaya menubuhkan PASTI bagi pendidikan pra sekolah, sudah berjaya menubuhkan sekolah rendah dan menengah Islam. 


Pencapaian PAS dalam politik pula sangat baik. Dulu PAS tak ada sokongan non muslim, sekarang kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). DHPP itu sendiri juga ada mesyuarat dan pemilihannya sendiri di peringkat negeri-negeri dan di peringkat pusat. 


Hasil kerjasama kita dengan Pakatan Rakyat, PAS berjaya mengekalkan pemerintahan di Kelantan, mendapat sokongan yang semakin baik di negeri-negeri lain termasuk di Terengganu, Perak, Kedah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. PAS juga akan melebarkan sayapnya di Sabah dan Sarawak. 


Pencapaian baik yang lain bagi PAS hasil kerjasama dengan Pakatan Rakyat adalah pencapaian dari sudut kejayaan dakwah kita yang sudah mula diterima oleh masyarakat. Ini dilakukan di bawah lajnah dakwah yang bergerak bersama dengan lajnah kebajikan, termasuk dalam memberikan pertolongan kepada masyarakat terutama di luar bandar yang mengalami kesusahan dalam ekonomi, di samping kita memberikan bimbingan ilmu agama. Semua itu adalah pencapaian yang sangat baik bagi PAS. Cuma sekarang, kita berhadapan dengan media baru dan ini perlu kita uruskan dengan lebih harmoni.  


Sebelum ini, PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno dan BN yang dikenali sebagai Perikatan. Apakah pengajaran yang diperolehi PAS hasil tahaluf siyasi dengan Perikatan itu? 


Tahaluf siyasi dengan Perikatan memberikan pengalaman yang sangat penting kepada PAS untuk menguasai politik di Malaysia. Pertama, semasa keputusan dibuat sudah berlaku perpecahan dalam PAS hingga tertubuh beberapa parti lain. Kejayaan besar kepada PAS hasil tahaluf siyasi PAS bersama Perikatan pada tahun 1970-an itu, ia berjaya mengangkat imej-imej Islam termasuk larangan minum arak di Parlimen, mempertingkatkan kefahaman agama kepada ahli-ahli Parlimen, memperkasakan lagi Felda di seluruh negara kerana pada masa itu Dato' Asri menjadi Menteri Tanah. Ini sekali gus mempertingkatkan lagi kebangkitan Islam di Felda. 


Pengalaman PAS bersama Perikatan juga banyak membantu PAS untuk persiapan mengambil alih teraju pemerintahan negara pada masa depan. Setiap tahaluf yang diadakan, PAS tak pernah rugi. Tahaluf dengan S46 membolehkan PAS menawan Kelantan, tahaluf dengan Pakatan Rakyat pula membolehkan PAS mendapat lebih sokongan di beberapa buah negeri termasuk di Negeri Sembilan dan Selangor sehingga Pakatan Rakyat berjaya memerintah di Selangor. 


PAS pula tak pernah khianat kepada rakan-rakan yang bertahaluf dengannya. Cuma pihak musuh, Umno-BN sahaja yang kata sebaliknya untuk melaga-lagakan kita termasuk dengan Pakatan Rakyat sekarang. Ini perlu dihadapi dengan baik oleh kita kerana setiap tahaluf yang kita buat berjaya membantu kita dalam usaha menegakkan Islam. 


PAS juga pernah bertahaluf siyasi dengan beberapa parti lain sebelum ini termasuk dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) atas ikatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Apakah keuntungan yang diperolehi oleh PAS dalam politik menerusi tahaluf siyasi bersama APU itu?  

Pertama sekali, hasil tahaluf dengan S46 itu, kita boleh duduk sekali dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi membantu mempertingkatkan lagi kefahaman Islam kepada beliau. Pada hal, Tengku Razaleighlah yang dulunya yang mencetuskan mageran di Kelantan bagi menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan. Hasilnya pula, PAS berjaya menang 39-0 di Kelantan dalam pilihan raya yang diadakan setelah PAS bertahaluf siyasi dengan S46.  


Ini membuka mata masyarakat mengenai realiti sebenar bahawa selain daripada Umno-BN, ada parti lain yang boleh memerintah dan lebih baik daripada Umno-BN sendiri, setelah orang ramai terutama di luar bandar berjaya dipengaruhi oleh Umno-BN yang kononnya hanya Umno-BN sahaja yang boleh memerintah di negara ini. 


Apakah perbezaan tahaluf siyasi PAS bersama APU dan Pakatan Rakyat sekarang?

Masa bersama APU dulu lebih kepada masyarakat Melayu sahaja kerana tahaluf yang diadakan oleh PAS itu adalah hanya sama-sama parti orang Melayu-Islam. Sekarang dalam Pakatan Rakyat, PAS juga bertahaluf siyasi dengan DAP yang majoritinya bukan orang Melayu-Islam. 


Sebelum bersama Pakatan Rakyat, PAS dihalang dengan berbagai cara untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat. PAS dikekang dari menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Akhirnya orang PAS menjadi lebih bersemangat. Ukhwah dalam PAS menjadi lebih baik. Usrah, tamrin dan program-program tarbiyah dihidupkan pada masa itu. Sekarang dengan tarbiyah kita itu, kita terus maju ke hadapan bersama Pakatan Rakyat yang lebih memudahkan kita menyebarkan dakwah kepada non Muslim. Hasil tahaluf dengan Pakatan Rakyat juga, PAS semakin diterima baik di Sabah dan Sarawak.   


Pada pandangan Ustaz, apakah PAS telah matang dalam politik sekarang dan selaras dengan usianya?


Ada perkembangan positif mengenai kematangan politik kita sekarang. Hasil tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat, PAS semakin diterima di kawasan-kawasan bandar dan di pinggir-pinggir bandar. Masalahnya sekarang hanyalah di luar bandar kerana masyarakat luar bandar masih bergantung kepada kerajaan dari segi ekonomi. Mereka tahu penyelewengan Umno-BN, tapi mereka masih kuat pergantungannya kepada Umno-BN bagi mendapatkan bantuan-bantuan kerajaan termasuk BR1M. 


Kalau sokong PAS, mereka rasa mereka akan hilang bantuan itu. Ini masalah kesedaran masyarakat luar bandar. Mereka pula kurang akses media baru, kecuali di kalangan anak-anak muda. Inilah antara cabaran dalam politik yang perlu dihadapi oleh kita dengan baik. Dengan adanya sambutan 63 tahun PAS ini, kita harap ia akan memberikan hasil yang lebih baik kepada PAS dalam menghadapi cabaran ini.   


Ada pandangan nakal segelintir dalam PAS yang mahu PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Bagaimana pandangan Ustaz dalam hal ini? 


Saya tengok macam ini. Perjuangan kita dalam PAS ini adalah untuk membawa amanah perjuangan Islam. Perjuangan kita dalam PAS ikut amanah Islam dalam politik. Kita nak menang pun kerana untuk membawa amanah Islam. Mereka bimbang takut mesej amanah itu tak boleh dibawa jika bersama Pakatan Rakyat. Itulah sebab mereka berpandangan sedemikian. 


Tapi realitinya, politik di Malaysia ini, rakyat nak perubahan besar. Jika hanya dengan satu parti sahaja, kita tak boleh tukar kerajaan. Umno pun jika Umno sahaja tak boleh menang atau tak boleh perintah negara. Itulah sebabnya Umno pun kena bekerjasama dengan parti-parti lain, MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti lain dalam BN.  


Jadi dari segi realiti politik, kita kena kekal bersama Pakatan Rakyat. Kita kena membawa amanah kita untuk mengangkat martabat Islam bersama Pakatan Rakyat. Jika bersama Pakatan Rakyat, kita ada ruang dakwah kepada orang bukan Islam. Kalau kita keluar Pakatan Rakyat, kita bimbang akan balik kepada keadaan lama iaitu susah untuk kita dekati non Muslim, malah masyarakat non Muslim menjadi makin jauh dengan Islam. Jadi sekarang, ia bergantung kepada sejauh mana gerak kerja kita dalam dakwah. 


Mengenai usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, agihan kekayaan yang tidak adil kepada negeri-negeri, federalisme, itu adalah isu-isu yang sudah diterima umum oleh masyarakat. Selain itu semua, kita dari PAS ada amanah khusus, iaitu amanah menjaga Islam. Kita mesti terjemahkan amanah perjuangan kita dengan mengambil pendekatan Islam yang sebenar iaitu Islam sebagai rahmat.


Sekarang pun ada dua aliran. Satunya aliran pemikiran liberal atau aliran kiri, satu lagi aliran yang terlalu ekstrem. Kedua-duanya itu bukan ajaran Islam. Islam mengajar umatnya membawa perubahan dengan rahmat sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial. Inilah yang perlu diketengahkan dalam masyarakat. Jadi tanggungjawab untuk menang dalam pilihanraya dan membawa mesej Islam itu mestilah berjalan sekali, tak boleh dipisahkan. 


Mereka yang bimbang jika mesej amanah perjuangan Islam itu tak boleh dibawa jika bersama Pakatan Rakyat hingga timbulnya pandangan itu perlu faham perkara itu. Kita kena faham bahawa perjuangan politik dan dakwah mestilah diperkasakan. Dalam masa yang sama, program-program tarbiyah, usrah, tamrin, liqa' fikri, rehlah, wacana akademik juga mestilah diperkasakan lagi. 


Tetapi banyak pihak dalam PAS sendiri merungut, program tarbiyah makin kurang, sehingga kemanisan ukhwah semakin hilang dalam PAS sekarang.   


Itulah akibatnya bila kita terlalu fikirkan soal politik semata-mata, sehingga terabai soal tarbiyah. Bila timbul isu-isu politik di Selangor, kini orang mula fikir soal tarbiyah dan perkasakan usrah. Inilah pula hikmah di sebalik krisis yang berlaku di Selangor. Baguslah bila orang mula nak dalami tarbiyah dan usrah sekarang. 


Bila kita ambil alih pemerintahan negara nanti, tenaga untuk menggerakkan program tarbiyah dan usrah akan menjadi semakin berkurangan kerana dalam masa yang sama tenaga-tenaga itu turut terlibat dengan pemerintahan negara dan negeri termasuk menjadi ahli-ahli majlis, NGO-NGO dan badan-badan lain dalam kerajaan sehingga menyebabkan kita semakin kekurangan tenaga untuk menggerakkan soal tarbiyah. Sekarang saya tengok, dengan isu-isu politik yang berlaku, orang mahu balik kepada soal dalaman parti. Ini yang baik yang positif dari apa berlaku. 


DAP sekarang semakin lantang mengkritik PAS sehingga dilihat seperti mencabar PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama, ada pula pihak daripada PAS yang mencabar DAP sendiri pula supaya keluar daripada Pakatan Rakyat. Bagaimana pandangan Ustaz dalam hal ini?

Seperti kenyataan saya hari ini, tak ada parti dalam Pakatan Rakyat yang boleh suruh parti lain keluar daripada Pakatan Rakyat. Sebaliknya, hanya parti itu sendiri yang boleh tarik diri sendiri jika hendak keluar daripada Pakatan Rakyat. Jadi, DAP tak boleh suruh PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. PAS juga juga tak boleh suruh DAP keluar daripada Pakatan Rakyat. 


Dulu, tahun 2000 lalu, DAP pernah keluar daripada pakatannya bersama PAS kerana tidak bersetuju dengan Enakman Kanun Jenayah Syariah yang digubal oleh PAS. Sekarang DAP masuk balik dalam kerjasamanya bersama PAS dalam Pakatan Rakyat. 


Kita akui, ada perbezaan antara PAS dan DAP, tapi masing-masing dah setuju untuk menghormati dasar parti masing-masing. DAP pun dah faham dasar PAS. Contohnya isu hudud di Kelantan yang sudah wujud sebelum wujud Pakatan Rakyat lagi. Jadi DAP tak boleh pertikai perkara itu. DAP dah tahu Kelantan akan laksanakan hudud. Jadi, ini tak sepatutnya menjadi masalah kepada DAP. 


Malah dalam PRU ke-12 dan PRU ke-13 lalu, ketika itu isu hudud dah timbul di Kelantan, tetapi kita tetap menang di Kelantan. DAP sendiri dah tahu benda itu. Jadi dalam soal kerjasama antara PAS dan DAP, isu hudud itu dah tak timbul. Begitu juga dengan soal kritikan terhadap dasar parti lain dan pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat, sepatutnya tak berlaku sebab masing-masing dah faham perkara itu. Mengkritik dasar dan pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat tak boleh. Itulah sebabnya PAS sendiri tak kritik dasar dan pemimpin DAP. 


Sekarang, PAS kritik dalamannya sendiri. Itu tak apa. PAS tak kritik parti lain dalam Pakatan Rakyat. Dalam Pakatan Rakyat ini, kita kena terima realiti kekuatan parti masing-masing. Kita akui, DAP dominan di Pulau Pinang, manakala PAS pula dominan di Kelantan dan Terengganu. Setiap parti ada tapaknya. Di negeri-negeri lain seperti di Negeri Sembilan dan Selangor perlukan muafakat antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.


Sekarang saya fikir, mungkin kita perlu susun balik kerjasama dalam Pakatan Rakyat dengan model baru. Jika model lama ada polemik, model baru itu pula kita kena fikirkan supaya gabungan itu adalah gabungan yang lebih longgar, tidak sebagaimana gabungan hari ini. Kita perlu fikirkan model baru untuk bertanding dalam pilihanraya hanya satu parti sahaja dari Pakatan Rakyat yang lawan satu parti dari BN. Soal dasar di negeri-negeri yang dimenangi DAP dan PAS boleh ditentukan dasarnya sendiri oleh parti itu, sejajar dengan dasar parti masing-masing, selagi dasar itu tidak bercanggah dengan undang-undang negara dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif. 


Di Sarawak, Pemuda DAP dah isytihar tidak mahu bekerjasama dengan PAS. Jadi, apakah PAS akan turut berlawan dengan DAP dalam pilihan raya di negeri Sarawak nanti?    


Sepatutnya kita tidak berlawan sama sendiri. Jadi PAS akan berusaha supaya tidak berlawan dengan DAP di Sarawak. PAS akan bertanding di Dun yang telah dipersetujui. Kita akan cuba minimakan pertembungan sesama sendiri. Mungkin akan ada juga pertembungan antara PAS dan DAP nanti, tapi mungkin hanya di satu dua kawasan sahaja kerana kita sendiri pun akan cuba minimakan pertembungan itu. 


Keadaan di Sarawak sebenarnya, yang banyak berlaku pertembungan dalam pilihan raya antara DAP dengan KeADILan. Kalau berlaku pertembungan dengan PAS adalah antara PAS dengan KeADILan. Tetapi dalam konteks di Sarawak, kita akan bertanding di kawasan yang kita boleh menang. DAP dan KeADILan pun akan bertanding di kawasan yang mereka boleh menang. Apa pun, kita tak boleh bagi kemenangan percuma kepada BN. Dalam pilihan raya di Sarawak nanti, mungkin ada pertambahan kawasan yang akan ditandingi PAS.   


Apa yang terjadi di Sarawak itu, keputusan untuk keluar daripada kerjasama dengan PAS itu dibuat oleh Pemuda DAP di negeri itu. Puncanya kerana isu hudud di Kelantan. Pada hal perkara itu tak ada kena mengena dengan negeri Sarawak. Malah, isu hudud di Kelantan itu pun dah muncul sebelum PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat lagi.  


Jadi DAP Pusat patut ambil inisiatif bagi menyelesaikan perkara ini. PAS tak boleh buat apa-apa untuk menyelesaikannya sebab PAS tak boleh campur tangan dalam parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Usaha itu perlu dilakukan di peringkat pusat dan kita serahkan kepada DAP Pusat bagi menyelesaikan masalah pemudanya di Sarawak itu. 


Bagaimana hendak menyatukan kembali ulama dan profesional dalam PAS yang kini masih lagi berbalah sesama sendiri termasuk di media baru? 


Kita harap dengan adanya sambutan 63 tahun PAS ini, kita akan pergi kepada titik persamaan antara kita. Dalam masa yang sama, kita perlu banyak duduk semeja, perbanyakkan lagi perbincangan sesama kita. Dengan sambutan 63 tahun PAS ini, langkah yang perlu dilakukan, pertama, kita harap semua pihak sama ada ulama dan profesional masing-masing memainkan peranan penting bagi penyatuan kita dalam PAS. 


Kedua, mana-mana benda dasar parti hanya boleh diputuskan oleh Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Penerangan PAS Pusat dan Setiausaha Agung sahaja. Kenyataan-kenyataan daripada lajnah-lajnah atau dewan-dewan boleh dibuat oleh wakil lajnah-lajnah atau dewan-dewan bagi mewakili lajnah-lajnah atau dewan-dewan terbabit, tetapi posisi parti serahkan kepada Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Penerangan PAS Pusat dan Setiausaha Agung. 


Ketiga, benda-benda yang boleh timbulkan polemik hendaklah dihentikan, walaupun tulisan kita itu hebat. Ini penting kerana apa pun akhirnya, fokus kita hendaklah memperkasakan parti. Jadi kita patut kenal pasti siapa kawan dan siapa musuh kita dalam politik. Jangan lebal melebal sesama sendiri. Semua agensi perlu memperkukuhkan parti, bukan merugikan parti sendiri. – HARAKAHDAILY 26/11/2014

1 orang berkata:

Anonymous said...

Selagi Presiden Pas tidak bertukar besar kemungkinan cadangan atau harapan Tuan Man tidak kecapaian.Dan dimnta pengikut cadangankan Tuan Man sebagai Presiden Pas yang baru dan kan menjadikan Pas dengan harapan yang baru.

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.