• Tengku Adnan Tengku Mansor
1 / 1
KUALA LUMPUR - Jurang ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan cabaran besar dihadapi orang Melayu.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, berdasarkan statistik, orang Melayu masih jauh di belakang bangsa lain dalam segala hak pemilikan dan perniagaan di ibu negara.
  
"Soalnya siapa hendak kita persalahkan? Apabila lesen diberi, dipajakkan atau dijual. Hartanah diberi begitulah juga jadinya," katanya semasa berucap pada Konvensyen Umno Wilayah Persekutuan yang dirasmikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.
  
Tengku Adnan berkata, 200 tahun dahulu orang Melayu pernah memiliki hampir 100 peratus tanah di Kuala Lumpur, namun jumlah itu kini berkurangan menjadi hanya 21.7 peratus, ekoran sikap orang Melayu sendiri yang menggadai dan menjual tanah kepada bangsa lain.

Selain itu, katanya, orang Melayu di Kuala Lumpur juga secara purata menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja sebulan dan menyumbang kepada statistik atau peratusan golongan miskin bandar. - Bernama