DAP vs Pas: Isunya, Hadi tak jadi 'rubber stamp'
RAMAI yang terpinga-pinga mengapa DAP terus menekan Presiden Pas dalam isu kehadiran di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.
Betul ke kehadiran Tuan Guru Abdul Hadi di dalam mesyuarat dapat menyelesaikan masalah Pakatan Rakyat?
Umum mengetahui, Pas tidak bersetuju dengan langkah Kajang.
Apakah kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat boleh mengelak langkah
Kajang daripada terjadi kerana tiada konsensus? Sudah tentu tidak.
Sebab PKR akan (dan telah terbukti) mengambil langkah untuk meneruskan
rancangan tersebut tanpa perbincangan. “Itu kerusi PKR. Ikut suka PKRlah
kalau kita nak adakan PRK untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim
bertanding. Tak perlu persetujuan Pas mahupun DAP. Bantahan mereka pun
tak guna. Pas dan DAP hanya perlu sokong sahaja.”
Jika mesyuarat PR diadakan untuk Langkah Kajang, percayalah kehadiran
pemimpin DAP dan Pas hanyalah sebagai ‘rubber stamp’ kepada keputusan
PKR untuk mengosongkan Dun Kajang.
Bagaimana pula dengan cadangan untuk menukar Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor?
Apakah kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat PR dapat mengelakkan PKR
daripada meneruskan agenda mereka untuk menggantikan Abdul Khalid atas
menghormati konsensus yang tidak dapat dicapai kerana Pas tidak
bersetuju dengan langkah itu?
Sudah tentu tidak. Ini pun sudah terbukti bagaimana PKR mengambil
langkah memecat Abdul Khalid daripada PKR untuk memaksa DAP dan Pas
membuat keputusan untuk memilih pengganti kepada Abdul Khalid.
Seterusnya, apakah kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat PR dapat
menyebabkan mengubah kedegilan PKR untuk hanya mencalonkan Presidennya
Datin Seri Wan Azizah untuk menggantikan Abdul Khalid meskipun tiada
konsensus dicapai untuk mencalonkan Wan Azizah sahaja sebagai calon
tunggal untuk kerusi MB Selangor?
Sudah tentu tidak. Dan ini terbukti sekali lagi apabila dua Adun Pas
dipujuk untuk menandatangani surat akuan bersumpah untuk menyokong Datin
Seri Wan Azizah sebagai calon tunggal menggantikan Abdul Khalid untuk
satu situasi tercipta di mana Pas dipaksa menerima keputusan itu
walaupun tiada konsensus pada asalnya.
Jika Pas mengambil sikap konfrontasi seperti DAP sejak awal Langkah
Kajang dengan sentiasa menegaskan bahawa tiada konsensus untuk menukar
MB Selangor, apakah yang akan terjadi hari ini?
Tapi kerana mengganggap DAP dan PKR sebagai rakan, Pas tidak berbuat
demikian secara terbuka sebagaimana DAP membesarkan isu kehadiran Tuan
Guru meskipun Pas tidak pernah berkenan dengan cadangan menggantikan
Abdul Khalid.
Masalah yang melanda PR ialah keputusan dibuat tanpa konsensus,
kemudian parti komponen yang lain dipaksa ‘endorse’ keputusan itu demi
muafakat bersama.
Isu ‘memaksa konsensus’ ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tuduhan kononnya Pas tidak berpegang pada konsensus.
Hakikatnya, dalam krisis MB Selangor, tiada konsensus yang dicapai
dalam Langkah Kajang sehinggalah keputusan untuk menghantar calon
tunggal PR sebagai pengganti Abdul Khalid untuk dipertimbangkan istana.
Pas bertegas nak hantar dua nama sejak awal dan Wan Azizah salah seorangnya.
Apa yang terjadi selepas itu adalah tindakbalas kepada cara PKR dan DAP
memaksa Pas untuk mempersetujui segala apa yang diputuskan antara PKR
dan DAP – dalam erti kata lain, memaksa dalam mencapai konsensus.
Apakah DAP akan gembira selepas ini jika Tuan Guru hadir mesyuarat PR?
Apakah Tuan Guru tidak akan diserang melalui pelbagai saraf kalau
beliau hadir mesyuarat tapi tetap berbeza pendapat dan enggan menjadi
‘rubber stamp’ DAP dan PKR dalam isu-isu tertentu?
Kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat sebenarnya bukanlah isu dan tidak pernah menjadi isu.
Isunya ialah Tuan Guru berani untuk tidak bersetuju dengan keputusan
yang dicapai antara DAP, PKR dan sebilangan pemimpin Pas dalam krisis MB
Selangor, dan ini tidak menyenangkan DAP.
Itupun hanya sekali Tuan Guru tidak bersetuju. Kalau kerana itu DAP nak melenting, tak tahulah nak cakap apa.
Hakikatnya, apa yang dibuat DAP sekarang menyebabkan Umno gembira dan Pas kecewa.
Pas sering dimaki kerana fitnah ingin bersama Umno. Bagi mereka yang
rasional, cuba fikir apa reaksi yang sepatutnya ada kepada tindakan DAP
ini yang sedang menggembirakan Umno ini?
DAP sudah mengisytiharkan bahawa kalau Tuan Guru tak dapat hadir mesyuarat PR, DAP juga tidak akan menghadirinya.
Ok. Pernahkah DAP terfikir akan menjaga maruah Mohamad Sabu yang rajin
hadir ke mesyuarat PR sebagai wakil Pas dan Tuan Guru tatkala presiden
tidak dapat hadir dengan kenyataan tersebut?
Sudah hampir 4 tahun, Mohamad menjadi timbalan kepada Tuan Guru Tuan Guru Awang.
Takkan kerana isu satu calon tunggal MB Selangor yang tidak
dipersetujui Tuan Guru, DAP terus mengganggap Mohamad sebagai seorang
timbalan yang tidak berguna kerana kurang berkuasa - sehingga tidak mahu
hadir ke mesyuarat PR yang dihadirinya tatkala Tuan Guru tidak dapat
menghadirkan diri?
Yang menggunakan hujah bahawa PKR dan DAP tidak mengacau siapa calon MB
di Kelantan dan Kedah yang ditadbir Pas dulu untuk memukul Tuan Guru,
juga perlu sedar bahawa jika DAP ingin menukar Ketua Menteri di Pulau
Pinang, Pas dan PKR juga tidak berupaya menghalangnya kerana DAP
menguasai hampir 50 peratus kerusi Dun di Pulau Pinang.
Berbeza dengan Selangor. Ini negeri yang tidak dapat ditadbir Pas, PKR
dan DAP jika mereka berasingan. Ini negeri yang perlu ditadbir bersama.
Yang dipersetujui hanyalah ialah calon PKR menjadi MB Selangor, tapi ini
tidak bermakna Pas dan DAP tiada suara untuk menentukan siapa dalam PKR
yang patut menjadi MB Selangor.
Menurut kajian UMCedel, rakyat inginkan Pakatan Rakyat yang dapat
bekerjasama dan terus kukuh sebagai alternatif kepada BN. Cubalah
hormati hasrat rakyat ini dan kurangkan perbalahan sesama parti komponen
PR.
Dan penghormatan ini perlu bermula daripada DAP berhenti menyerang Tuan
Guru. Ini perlu kerana Pakatan Rakyat sebenarnya berfungsi dengan baik
sehinggalah tercetusnya krisis MB Selangor.
Ya, krisis MB Selangor yang merosakkan kerjasama PR, dan bukannya Tuan
Guru. Serangan pada Tuan Guru sekarang pula sedang merosakkannya.
Betul, bukan semua yang Tuan Guru buat itu betul kerana beliau hanyalah seorang manusia.
Tapi tindakan untuk menyalahkan seluruh masalah PR pada batang tubuh
Tuan Guru sahaja kerana krisis MB Selangor, itu bukan sahaja sangat tak
betul, malah berniat jahat kerana mereka yang mencetuskan krisis ini
pula langsung tidak dikritik. Ini bukan sahaja berat sebelah, malah
hipokrit namanya.
Kalau niatnya ialah untuk memastikan PR terus kukuh, carilah perkara
yang membawa muafakat. Janganlah bersikap macam orang nak bercerai
dengan mempertikaikan perkara yang membina jurang persahabatan.
Melainkan ada parti yang merasa dengan menyerang Pas dan Umno, ia dapat
membantu peluangnya untuk meningkat kerusi di PRN Sarawak dan juga
PRU14? Senyum sajalah kalau begitu.
0 orang berkata:
Post a Comment