SETIU - Jalan Penarik ke Kampung Raja di Besut ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlaku tanah mendap akibat banjir yang melanda kawasan Penarik malam tadi.
  
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad berkata, mendapan itu berlaku di Kampung Nyatoh berhampiran Pusat Tahfiz Baitul Rahmah.
  
Katanya, pengguna jalan raya dari Kampung Raja untuk ke Kuala Terengganu dinasihat membuat lencongan di Jalan Guntong Dalam.
  
"Pengguna jalan raya dari arah Kuala Terengganu yang hendak ke Kota Bharu (Kelantan) dinasihat menggunakan jalan dari Batu Enam, Kuala Terengganu ke Sungai Tong dan ke Bandar Permaisuri sebelum ke Jerteh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Ab Rahman berkata, laluan berkenaan ditutup sejak 11 malam tadi setelah mendapati mendapan tersebut bertambah serius dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
  
Katanya kerja membaiki sedang giat dilakukan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).  - Bernama