Mimpi ngeri bekas tahanan Kamunting |
Posted on Monday, September 26 @ 18:00:00 PDT by paktam
Oleh Abd Shukur Harun
WALAUPUN ISA akan dimansuhkan, namun banyak kenangan pahit, malah mengerikan, masih diingat, malah menjadi mimpi ngeri, oleh mereka yang menjadi mangsa akta zalim itu yang pernah mendekam mangsanya bertahun-tahun.
Akta yang bengis dan tidak manusiawi itu akan dimansuhkan, namun undang-undang baru yang akan menggantikannya tidak diketahui watak dan wajahnya
Sekiranya hampir sama dengan ISA, bermakna rakyat akan terus terdedah lagi dengan akta yang menafikan hakóhak asasi manusia dan kemanusiaan itu sendiri.
ISA telah menjadi mimpi ngeri bagi mereka yang pernah menjalani tahanan tanpa bicara itu dan kini sebuah buku yang berjudul Sengsara di Kem Kamunting – Hidup Dalam Penjara ISA terbitan GMI dan SIRD muncul ditulis oleh mangsa tahanan itu sendiri, Saari Sungib, yang kini Adun yang aktif di Hulu Klang.
Buku ini ditulis menurut getaran hati dan denyut perasaannya sebagai seorang tahanan ISA. Beliau merakamkan mimpi ngeri dan pengalamannya ditahan bersama rakan-rakannya.
Kali pertama beliau ditahan pada 12 Oktober 1998 dan kali kedua pada 10 April 2001. Semasa ditahan di Kem Kemunting dalm tempoh dua tahun, Saari menulis dan menerbitkan buku lapan buah buku bersiri Suara Dari Kamunting dan empat buah Siri Mansuhkan ISA.
Beliau dibebaskan dari Kem Kemunting pada 1 Jun 2003. Saya selesai membaca buku Saari ini dan mendapati penting dibaca untuk mengetahui azab sangsara dalam tahanan ISA dan berkongsi perasaan menerima hakikat bahawa akta tersebut sangat zalim kerana ia memangsakan kemanusiaan, atas alasan apapun.
Saari merakamkan Sengsara Kem Kamunting ini bermula dengan pengalaman malam pertama beliau dan rakan-rakan dihantar ke kem kemunting itu. Kemudian beliau mengimbau ke belakang pengalamannya sebelum ditahan di kem tersebut.
Antara peristiwa penting dalam tahanan itu ialah pengalaman mogok lapar sempena tahun pertama beliau dan rakan-rakan di bawah akta zalim ISA. Bukunya ini mengandungi 60 bab dari ‘Malam Pertama di Kem Kemunting’ hingga kepada ‘Mogok Lapar’. Beliau dan rakan-rakan menjalani empat kali mogok lapar.
Antara bab yang sangat mengharukan ialah apabila melihat sendiri apa yang didengarnya selama ini, sunyi dan sepi, al-Quran sebagai teman, pujukan supaya masuk Umno, nyanyi sunyi seorang bisu, Ramadan pertama, raya yang sepi dan hambar, manipulasi SB, nikahkan anak dan beberapa lagi.
Dalam bukunya ini Saari menghuraikan mengenai tindakan mogok lapar para tahanan. Tindakan ini, katanya, sebagai suatu cara penentangan tanpa kekerasan yang dilakukan sebagai protes politik. Tindakan ini, menurutnya, dilakukan untuk menunjukkan rasa bersalah pihak pemerintah yang menahan tanpa hak mereka yang melancarkan mogok lapar tersebut. Langkah ini, katanya, adalah suatu tindakan mulia menuntut hak dan juga seruan terhadap nilai keadilan universal.
Semasa dalam tahanan, Saari sentiasa membaca al-Quran, merenung dan menghayatinya, terutama menerusi Fi Zilal Al- Quran tafsir dan huraian Syed Qutb. Al-Quran menjadi teman setianya dan dengan kitab itu menambahkan kekuatan jiwanya untuk menghadapi cabaran, terutama berdepan situasi yang dialaminya ketika itu.
Justeru, Saari Sungib sentiasa berdampingan dengan al- Quran dan dengan kitab suci itu dia mendapat kekuatan untuk menghadapi cabaran. Ulasan pendek Syed Ibrahim Syed Noh, pemimpin GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) dalam kata pengantar buku ini sangat menarik.
Katanya, lebih banyak dan meluasnya pendedahan mengenai ISA, lebih ramai kalangan rakyat memahami mengapa ISA – ibu daripada kepada kezaliman - perlu dihapuskan.
Buku mengenai pengalaman tahanan ISA sudah lama beredar dalam pasaran, ditulis tokoh seperti Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestamam, Syed Husin Ali, Anwar Ibrahim dan lain-lain. Di samping itu buku mengenai Dr Burhanudin Al-Helmy yang juga pernah menjadi mangsa ISA sudah banyak beredar dalam pasaran.
Oleh itu, buku terkini Saari ini nescaya akan menambah jumlah buku yang menceritakan pengalaman pahit mangsa ISA. Darinya kita boleh merenung akan erti kebebasan, kemanusiaan, dosa dan pahala, di samping memikirkan bahawa “kezaliman itu mungkin lama, tetapi akan berakhir”, seperti diungkap Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.
Saya yakin, dengan pengalaman intelektualnya sebagai pemimpin PAS yang berkembang menerusi tarbiyah amali, Saari akan menghasilkan lagi buku, terutama mengenai pengalaman dalam gerakan Islam dan pembinaan kepada kekuatan jemaah.
Kini, ISA akan dihapuskan, tetapi wajah dan watak kezaliman boleh saja menjelma dalam pelbagai bentuk dan berubah mengikut masa dan keadaan. Mereka yang pernah mendekam di bawah akta zalim ini tidak mudah untuk melupakan kezaliman ini.
Akta jenis ini adalah manifestasi usaha sesebuah pemerintahan untuk menakutkan rakyat. Tetapi, seperti kata bekas Presiden Amerika, Thomas Jefferson: “Apabila rakyat takut kepada pemerintah, ia adalah penjajahan, tetapi apabila pemerintah takut kepada rakyat, itulah namanya kemerdekaan.”
0 orang berkata:
Post a Comment