Marina Mahathir selar media, Seksualiti Merdeka bukan promo seks bebas
TERKINI @ 07:00:19 PM 07-11-2011
November 07, 2011
PETALING JAYA, 7 Nov ― Datuk Paduka Marina Mahathir hari ini menyelar laporan-laporan media yang menggambarkan Seksualiti Merdeka seolah-olah sebagai festival seks bebas dan mengancam untuk menyaman jika perkara itu tidak diperjelaskan dan diputarbelitkan.
Pada sidang media yang diadakan petang ini, anak bekas perdana menteri itu berkata, tiada perkataan yang dapat digunakan untuk menggambarkan perasaan marah beliau apabila program tersebut difitnah, yang jelas menerusi TV3 malam tadi, dan memberi amaran kepada pemberita dari stesen tersebut akan kesannya jika kenyataannya hari ini disalah petik.
“Saya melihat pada wajah anda dan kami tahu siapa anda,” kata Marina di ibu pejabat Tenaganita di sini.
Marina muncul di pejabat pertubuhan bukan kerajaan itu di Jalan Gasing di sini untuk memberi sokongan kepada empat rakannya yang dipanggil polis hari ini berhubung program itu, yang diadakan setiap tahun sejak 2008 tetapi menjadi kontroversi tahun ini dan diharamkan berkuat kuasa Khamis lalu.
Mereka yang dipanggil polis hari ini ialah pengasas program Seksualiti Merdeka Pang Khee Teik, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavasan, Pengarah Tenaganita Irene Fernandez dan ahli jawatankuasa Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.
“Saya berada di sini sebagai seorang penyokong sebab dua tahun lalu saya telah merasmikan Seksualiti Merdeka tanpa sebarang insiden,” katanya.
Marina menjelaskan program itu bukan bertujuan menggalakkan seks bebas tetapi untuk membantu kumpulan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan traansgender) yang dipinggirkan memahami hak mereka dalam lingkungan undang-undang.
“Ia adalah satu acara untuk menjelaskan dan mendidik tentang hak mereka dalam lingkungan perundangan, dan bukannya di luar lingkungan.
“Saya sangat marah, sangat marah, tiada perkara untuk menggambarkan ke atas sesetengah pihak yang menganggap ini sebagai festival seks bebas. Anda tiada perkara lebih baik untuk dilakukan? Seks bebas memang tidak dibenarkan di sini... adakah anda gila (sehingga) boleh menggambarkan perkara ini?” kata beliau.
Dalam pada itu, menurut Ambiga, kes itu disoal siasat di bawah Seksyen 298 dan 109 Kanun Keseksaan, dan juga di bawah Akta Polis berhubung kesalahan menyinggung sentimen agama seseorang.
Ketika muncul selepas pertemuan selama 45 minit dengan polis, Ambiga mendakwa media membuat fitnah mengenai festival itu dan merujuk kepada TV3 atas kesilapan yang dilakukan.
Bekas presiden Majlis Peguam itu kemudian mencabar stesen swasta itu agar menyiarkan kenyataan beliau hari ini dan tiga rakannya secara verbatim, dan jika tidak akan mengambil tindakan perundangan.
“Saya mencabar TV3 agar melaporkan dengan penuh apa yang diperkatakan oleh Datuk Paduka Marina Mahathir. Saya juga mencabar anda menyiarkan segala apa yang saya katakan sekarang.
“Anda mengelirukan publik. Anda memanggil yang ini sebagai festival seks bebas. Saya mencabar anda membawa setiap yang saya katakan atau tidak saya boleh menjamin anda, anda akan mendengar daripada peguam-peguam saya dalam isu ini,” kata beliau.
“Jaga-jaga, TV3.”
Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia mengharamkan sebarang majlis yang dilakukan mana-mana penganjur berkaitan dengan program Seksualiti Merdeka demi ketenteraman awam. Pengharaman berkuat kuasa Khamis lalu.
Katanya, polis telah mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran program itu termasuk Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.
“Polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A Akta Polis untuk menghalang sebarang penganjuran majlis itu,” katanya.
Beliau berkata undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf kegiatan songsang yang boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.
Merdeka Seksualiti 2011, program yang bermula 1 November lalu dan sepatutnya berlaruran sehingga 13 November antara lain mendesak hak sama rata untuk golongan homoseksual dan transeksual seperti gay, lesbian, biseksual, interseks serta transgender.
Bagi mengelak suasana tidak diingini berlaku, beliau berkata polis meminta orang awam supaya tidak menyertai program itu kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam.
0 orang berkata:
Post a Comment