Posted on Monday, November 28 @ 21:22:09 PST by paktam
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Apabila KeADILan memilih Johor sebagai lokasi Kongres Nasional Tahunan Ke-8, ia dilihat bukan sahaja sebagai isyarat jelas parti itu untuk "mara ke selatan" tetapi juga keseriusan "untuk menembusi negeri yang suatu ketika dahulu merupakan fixed deposit Umno", seperti diluahkan Timbalan Presidennya, Azmin Ali.
Di majlis sama, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, menekankan: "Kongres ini menjadi alamat, petanda bahawa kubu (Umno) itu sudah pecah dan tidak lama lagi negeri Johor ini akan kita bebaskan daripada cengkaman Umno."
Saya menelah, mungkin tidak ramai aktivis dan pemimpin KeADILan sendiri yang memandang serius penegasan penuh bersemangat itu memandangkan laluan sukar Johor buat ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat, namun realiti politik pasca Mac 2008 sememangnya sukar diduga. Upaya rakyat untuk mencetuskan perubahan, walaupun tanpa sebarang amaran awal, tidak boleh dipandang remeh.
"Apa pun, janganlah kerana keputusan PRU12 yang di luar jangka itu, maka kita semua boleh berteori dengan mudah bahawa segalanya mungkin berlaku kejutan dalam PRU13, termasuk di Johor, sedangkan gerakerja kita masih terbatas. Usah sekadar mengharap nasib memihak kira kali ini," pandangan seorang pemerhati politik, yang ternyata masih kurang yakin kemampuan Pakatan untuk menawan wilayah tradisi Umno di selatan.
Tsnami politik hampir empat tahun lalu dapat disekat daripada melimpah keluar Lembah Klang, iaitu Negeri Sembilan -- meskipun majoriti dua pertiga BN dalam sidang Dun buat pertama kali berjaya dinafikan -- dan Umno tetap gagah di Melaka dan mampu bertahan di Johor dengan beberapa "kecederaan kecil".
Waktu itu, kecuali Perlis dan negeri-negeri selatan, semua negeri Pantai Barat, yakni Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mencipta sejarah. Bagaimanapun, penganalisis melihat pengundi Melayu masih berbelah-bahagi, dengan Umno menguasai sisa-sisa kawasan tertentu, khususnya penempatan luar bandar.
Sekiranya Sabah dan Sarawak tidak dapat diusik dengan berkesan oleh Pakatan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, maka kubu Umno di selatan Semenanjung, khususnya Johor, mesti ditembusi, bagi memastikan peralihan kerajaan persekutuan berjalan lancar di Putrajaya.
Bagaimanapun, keupayaan Pakatan di Johor, dan juga Melaka serta Pahang, masih menjadi tandatanya, manakala keazaman politik yang tinggi untuk menawan Negeri Sembilan -- yang kini hanya dibezakan dengan empat kerusi Dun -- tetap menagih komitmen luar biasa, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Kunjungan saya ke Seremban hujung minggu lalu dan kesempatan berbicara dengan aktivis PAS di sana masih gagal untuk meredakan kerisauan saya tentang trend mengundi masyarakat luar bandar, di kampung tradisi dan kawasan Felda. Selain berusaha menyampaikan maklumat (kisah pengkhianatan BN dan cerita kejayaan Pakatan) terus langsung kepada mereka, persepsi dan tanggapan pengundi Melayu di desa itu perlu diubah segera.
Empat kerusi Dun yang diperlukan untuk menukar kerajaan Negeri Sembilan memang nampak kecil bilangannya, tetapi cabaran dan gugatannya ternyata lebih sukar. Umno -- dengan segala sumber dan kemudahan -- yang menyedari takhtanya bakal dirampas akan melakukan apa sahaja taktik kotor dan tipu helah, apatah lagi kerusi Dun sasaran Pakatan bukannya mudah untuk direbut.
Dalam keluaran ini, Harakah memilih Negeri Sembilan sebagai fokus fikrah menjelang PRU13. Dibantu wartawan Negeri Sembilan, Faiz Abdullah, rakan-rakan dari Kuala Lumpur, Wan Nordin Wan Yaakob, Shafri Shamsuddin, dan jurufoto Wan Zahari Wan Salleh menyiapkan bahan.
Ketika mereka melakukan tinjauan di Seremban, Sabtu 19 Nov, sebahagian besar perkhidmatan bas di seluruh negeri itu terhenti. Ramai pengguna marah. Cuma ada yang merungut kerana tidak melihat kelibat pemimpin Pakatan menjuarai isu rakyat itu.
Selain wawancara dengan pimpinan utama PAS Negeri Sembilan, kami sebenarnya mahu menyediakan analisis lebih menyeluruh. Bagaimanapun, kesuntukan ruang membatasinya. Bagi saya, selagi Dun atau Parlimen belum dibubarkan, apa jua kelemahan masih boleh diperbaiki.
Aktivis parti tentunya bersedia melakukan penambahbaikan dan menerima setiap kritikan sebagai cabaran yang mesti ditangani dengan dada terbuka. Biar impian mencecah awan, namun persiapan dan gerakerja harus berpadanan agar hasrat murni untuk membela rakyat dan menyelamatkan negeri/negara terkabul.
Sementara itu, semasa menyelak helaian ucapan Shamsul, saya terkesan beberapa penekanannya yang menarik, terutama berkaitan isu-isu Melayu. Rupanya bukan PAS sahaja yang memandang serius agenda berkenaan, malah KeADILan turut memberi keutamaan. Bagi saya, ini perkembangan (atau boleh sahaja menjadi polemik) yang diharap berimpak positif dan produktif.
Di antara yang disentuh adalah peruntukan saham RM52 bilion di bawah DEB yang "lesap", isu pengurusan Felda dan peneroka, Tanah Rizab Melayu yang berpindah tangan kepada syarikat bukan Melayu, pembangunan Kampung Baru, institusi raja-raja Melayu, memperkukuhkan fungsi dan peranan bahasa Melayu serta tentangan terhadap usaha menghidupkan semula PPSMI.
Shamsul turut mencabar pemimpin Umno: "Hakikatnya, Umno yang membahayakan kepentingan dan kedudukan orang Melayu.
Maka demi menjamin benteng terakhir orang Melayu, yakni kuasa politik, tidak menjadi dagangan Umno; AMK mencabar Umno meminda Perlembagaan bagi memasukkan syarat dan jamina bahawa jawatan Perdana Menteri hanya boleh disandang oleh seorang Melayu. Alasan jawatan tersebut dipegang oleh seorang Melayu hanya semata-mata kerana Umno berkuasa tidak boleh diterima. Sejarah membuktikan Umno sanggup menggadaikan dan memperdagangkan apa sahaja."
Ucapan perasmian Azmin turut menyinggung isu-isu Melayu, dengan mempersoalkan perjuangan Umno terhadap kepentingan bangsa. Antara lain, puisi Usman Awang dan karya Syed Muhammad Naquib Alatas dijadikan hujah Azmin untuk menempelak pengkhianatan Umno kepada orang Melayu.
Ketika menulis kolum ini, malam Sabtu, saya terbaca usul tergempar yang diluluskan kongres AMK, iaitu untuk mengadakan rancangan komprehensif bagi meningkatkan undi daripada pengundi Melayu. Saya tidak pasti bagaimana respons kongres KeADILan yang berlangsung esoknya terhadap usul berkenaan.
Dalam perkembangan lain, jaminan Perdana Menteri, Najib Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi membolehkan mahasiswa yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik, disambut positif, meskipun masih ramai yang curiga. Saya lebih suka melihat sisi positif pengumuman itu, demi kepentingan masa depan anak-anak muda kita. Gelombang pendemokrasian tidak boleh disekat lagi.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, yang dilarang menyertai program mengenai e-bukunya, Kalau Saya Mahasiswa, di UIAM, minggu lalu, mungkin merupakan orang paling lega. Beliau paling lantang dan konsisten menyuarakan hak berpolitik pelajar (mungkin mengatasi pemimpin Pakatan Rakyat) walaupun dikecam hebat rakan-rakannya (dan terpaksa berkonfrantasi dengan menterinya sendiri) dalam Umno dan kerajaan.
Demonstrasi lebih 200 siswa UIAM selepas solat Jumaat, 25 Nov lalu pasti merungsingkan rektor barunya, Zaleha Kamaruddin. Sukar untuk menjangkakan mengapa Zaleha bertindak nekad menghalang dan membatalkan beberapa program di universiti berkenaan. Semuanya memburukkan imej beliau dan memalitkan imej buruk buatnya.
Alasan beliau ditekan pihak luar tidak boleh diterima sebagai daleh. Rektor atau naib canselor harus mempunyai integriti tinggi dalam usaha menegakkan idealisme dan mempertahankan prinsip.
Saya agak kerap mendengar bicara Zaleha mengenai hal-ehwal kekeluargaan Islam dalam siaran radio IKIM khususnya dalam perjalanan ke pejabat. Ya, bicara yang menarik dan bermanfaat. Malang bagi profesor undang-undag ini yang terpaksa menempuh siri kontroversi yang langsung tidak bermanfaat itu. Kasihan ...
Bermula dengan kes pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang dilarang berkuliah dalam Masjid UIAM, pembatalan penyertaan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM sebagai panel dalam program Hujah TV9, diikuti Prof Dr Aziz Bari digantung tugasan dan dikenakan siasatan, dan terkini program membabitkan Saifuddin yang dibatalkan secara ad-hoc.
0 orang berkata:
Post a Comment