Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

75% KENYATAAN KHAIRY KAPAK TENGKOK UMNO SENDIRI, ANAK OMAK !

TUP-TUP KENA MUKA SENDIRI, APA HAL UMNO NIH !

Khairy Jamaluddin: Formula 6 jahanam oleh pembangkang

Khairy Jamaluddin | Nov 30, 2011 12:39:33 pm


 
Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul 6 Jahanam telah mengisahkan tentang 6 orang penjenayah yang membuat onar dalam masyarakat dengan perbuatan merompak, mencuri, membunuh dan merogol.  Hari ini masyarakat kita tidak terlepas daripada terpaksa berhadapan dengan 6 Jahanam versi moden - polemik politik pembangkang jijik!  Buktinya adalah melalui percubaan pembangkang yang berangan-angan melaksanakan 6 formula kehancuran negara yang saya sifatkan sebagai formula 6 Jahanam.

Pertama: Menjahanamkan sistem demokrasi
JAWAB: PILIHANRAYA DEMOKRASI KE ?

Pembangkang seringkali menggunakan kebangkitan di Timur Tengah untuk menghasut rakyat negara ke arah revolusi jalanan. "Arab Spring" di Malaysia, kata mereka.  Di manakah letaknya akal fikiran mereka kalau kita ingin disamakan dengan negara Tunisia, Mesir dan Libya?  Malaysia amat berbeza dengan negara yang huru-hara di Timur Tengah.  Namun, pembangkang menggunakan perkara ini untuk meniup api kebencian kepada Kerajaan.  Inilah agenda tersembunyi yang ingin mereka capai, tatkala idea mengadakan BERSIH mereka canai.  Matlamat mereka bukannya pemerkasaan sistem pilihanraya yang adil.  Sebaliknya, ia adalah wahana menyebarkan debu-debu sangsi yang akan menimbulkan kekacauan yang maha kelam kabut dalam sebuah negara berdaulat.

Pada mereka sistem demokrasi itu tidak wujud di bawah pentadbiran BN.  Pada mereka BN adalah pencuri pilihanraya, menidakkan suara rakyat, dan menggunakan serba macam taktik kotor untuk kekal berkuasa.  Jika benarlah pakatan pembangkang mendukung demokrasi, mengapa sehingga hari ini mereka tidak pernah melahirkan rasa kesal mengenai insiden September 16?  Sedarkah kita, propaganda rampasan kuasa September 16 adalah satu bentuk penghinaan kepada amalan demokrasi yang wajar dirakam sebagai satu detik hitam dalam sejarah negara.

Tak cukup dengan itu, baru-baru ini Azmin Ali dengan gah mengumumkan hasrat PKR untuk memecah tembok penjara bagi membebaskan Anwar Ibrahim sekiranya didapati bersalah dalam kes liwatnya.  Semestinya ini bukan kenyataan pendukung demokrasi yang sebenar.  Undang-undang negara, sistem kehakiman negara semuanya tidak diendahkan.  Sudah terang lagi bersuluh, keluar dari mulut mereka sendiri, agenda mereka hanya satu, iaitu memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan apa jua cara - halal atau haram.  Dan konsep demokrasi ini hanya menjadi alat bermusim ke arah sasaran sempit mereka.

Tidak syak lagi, demokrasi negara menjadi mangsa pertama di bawah kerakusan pakatan jahanam.

Burung bayan terbangnya tinggi
Hinggap seekor di pohon pisang
Mengaku konon pejuang demokrasi
Rupanya penghasut jalan songsang

Kedua: Menjahanamkan sistem pentadbiran
JAWAB: BANYAK PENTADBIRAN SEMUA KEMENTERIAN TEMPANG, KUASA POLITIK MENGATASI PENTADBIRAN, TANYALAH ORANG KERAJAAN

BN adalah satu parti yang telah terbukti keupayaannya dalam mentadbir negara.  Semangat setiakawan antara parti komponen dapat dilihat dengan jelas dalam pemilihan Jemaah Kabinet oleh Perdana Menteri.  Bagaimana pula dengan pembangkang?  Sehingga kini, mereka masih gagal memberikan kita Kabinet Bayangan.  Yang mereka ada, tiga penyelia untuk satu portfolio - tiga kepala, satu badan.  Bayangkan kalau mereka perlu menubuh kabinet di masa hadapan - siapa Perdana Menterinya?  Anwar, Guan Eng atau Haji Hadi? 

Mutakhir ini, mereka dengan angkuhnya mahu mengurangkan bilangan kakitangan kerajaan.  Pembangkang tabur statistik bahawa nisbah penjawat awam dengan penduduk di Malaysia adalah tinggi dan membebankan.  Tetapi mereka sengaja menyembunyikan hakikat bahawa negara-negara lain tidak mengambil kira golongan anggota keselamatan dan warga pendidik sebagai kakitangan awam.  Sedangkan di Malaysia, dua golongan ini merangkumi lebih 50% daripada semua penjawat awam.   Maka, sudah pastilah nisbah kita lebih tinggi daripada negara-negara lain.

Bagi Pemuda, tiada langsung sebab untuk kurangkan saiz kakitangan awam.  Negara tidak mungkin mengecapi kemakmuran sebegini tanpa sokongan dan usaha gigih sektor awam.  Tapi jelas, ini bukan pertimbangan bagi pihak pembangkang.  Sesungguhnya, bagi penjawat awam yang bakal mengundi kelak, undi untuk pembangkang adalah sama seperti menabur pasir ke periuk nasi sendiri.

Bayangkan pula apa akan jadi kepada pentadbiran undang-undang?  PAS mahu laksanakan hudud, tetapi DAP pula minta langkah mayat mereka dulu.  Jika Pakatan mengambil alih Kerajaan Persekutuan, apakah akan ada undang-undang berbeza di negeri berbeza?  Apakah definisi jenayah sendiri akan berubah mengikut geografi?  Kalau mencuri di Kelantan, potong tangan.  Kalau di KL, sumbat penjara.  Kalau di Pulau Pinang, itu kita tengok dulu apa kata Khalifah Lim Guan Eng.

Inilah realiti yang akan berlaku sekiranya kita benarkan pakatan pembangkang yang tandus persefahaman mengambil alih kepimpinan negara.  Sistem pentadbiran kucar-kacir tanpa arah, porak peranda - menjadi mangsa kedua kerakusan pakatan jahanam!

Ketiga: Mejahanamkan maruah negara
JAWAB: BUKANKAH UMNO YANG SERAHKAN TELAGA MINYAKNYA ? PULAU SINGAPURA ? PULAU BATU PUTIH ? RUANG UDARA ?

Semua menjadi saksi, UMNO dan BN tidak pernah tergamak memburuk-burukkan kepimpinan negara kita kepada orang luar.  Namun, tidak sampai sepenggal menjadi Ketua Menteri, Lim Guan Eng terkocoh-kocoh ke Singapura menjaja fitnah terhadap negeri Johor semata-mata mahu menggambarkan satu situasi yang menyebelahi partinya.  Beliau tahu Johor adalah bakal penerima pelaburan terbesar dari Singapura.  Disebabkan dengki, beliau menakut-nakutkan pelabur dari Singapura tanpa mempedulikan kesan pelaburan negara yang boleh merudum disebabkan tindakan biadapnya, seolah-olah Pulau Pinang itu bukan sebahagian dari Malaysia.  Persetankan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia.  Apa yang penting hanyalah DAP dan Republiknya di Pulau Pinang!  Pantang ada peluang.  Maruah negara beliau telanjangkan. 

Kerakusan pembangkang amat berbeza dengan sikap dan budaya kita yang bangga menjadi anak Malaysia.  Kita bangga dengan asal usul negara kita, bangga dengan pencapaian kita, bangga dengan lambang negara kita.  Maka kita marah apabila pembangkang dengan sesuka hati memperlekehkan Jalur Gemilang.  DAP dengan angkuhnya berkata mereka lebih sanggup edar bendera roket berbanding bendera kebangsaan.  Ini biadap!  Kita marah dengan janji pembangkang untuk mengubah terus Jalur Gemilang sekiranya mereka memerintah.  Inilah polemik politik jijik dan budaya kebencian yang dibawa oleh pihak pembangkang.  Bukan setakat simbol negara, institusi-institusi penting seperti polis, tentera semuanya habis dihentam dan dipandang hina.  Tak pernah langsung kita dengar mereka mengiktiraf jauh sekali memperjuangkan kepentingan anggota keselamatan negara.  Bayangkan kalau mereka mengambil alih, apa nasib negara kita?  Jadi bahan cemuhan di persada antarabangsa.

Maka, sekiranya kita biarkan mereka memerintah, satu sahaja hasilnya terhadap maruah dan imej negara.  Mangsa ketiga pakatan jahanam!

Malangnya sungguh nasib Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Pembangkang sungguh berhati busuk
Burukkan negara berderai-derai

Keempat: Menjahanamkan sejarah negara
JAWAB: BUKANKAH ORANG UMNO YANG TULIS SEJARAH ? KEMUDIAN MEMUTAR BELITKAN SEJARAH !

Sesungguhnya sejarah adalah pasak jatidiri sesuatu negara.  Warisan dari generasi ke generasi.  Melalui sejarah, kita kenal identiti kita sebagai seorang Melayu Islam dan seorang warganegara Malaysia.  Melalui sejarah, kita mula memahami tanggungjawab, amanah dan peranan kita dalam memastikan kelangsungan agama, bangsa dan negara.  Tanpa sejarah, semua laungan juang tidak bermakna.  Tanpa sejarah kesemua percaturan politik tidak punya hala tuju.  Peliknya, hari ini ada yang memutar belitkan sejarah - menyanjung golongan yang mengetuai serangan Bukit Kepong - golongan yang membunuh isteri dan anak semuda dua tahun.  Semua dipuja sebagai pejuang kemerdekaan.  Pegawai polis yang terkorban pula dilabel sebagai tali barut British.

Apabila musuh durjana negara diangkat sebagai wira, apabila perjuangan pembela pertiwi dihina, maka inilah tamsilan ampuh talam dua muka; pakar pura-pura.  Inilah yang dikatakan gunting dalam lipatan; api dalam sekam; musuh dalam selimut.  Inilah realiti sekiranya penjunjung komunis dibiar mentadbir negara.  Lesap habis segala fakta sejarah.  Kesemuanya bakal diganti mitos pro Komunis yang menyanjungi pengganas, para pembunuh anggota polis.  Sejarah negara dan asal usul bangsa menjadi mangsa keempat pakatan jahanam.

Kelima: Menjahanamkan jati diri bangsa
JAWAB: GADAIKAN KEPENTINGAN BANGSA ? BUKANKAH UMNO YANG BAGI HABUAN KERJA KAT RAKYAT THAILAND DALAM ISU GAS ! BUKANKAH UMNO YANG KOTOR DAN POLITIK AGAMA ? DENGAN MENOLAK HUDUD, DENGAN MEMBIARKAN SOI LEH HINA ISLAM ! 

UMNO adalah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.  Malangnya ini bukan fokus Pakatan Rakyat.  Yang mereka tahu, gadaikan kepentingan bangsa, cabar kesucian agama, asalkan kepentingan politik mereka terjaga.  Kita perhatikan PAS.  Setiap kali cuba menyentuh isu agama, mereka akan dilibas pantas oleh DAP.  PAS hanya mampu membisu.  Takut berputus kasih dengan DAP yang memilih bulu!  Bila DAP mengamuk, PAS menyorok.  Bila DAP kata Himpunan Sejuta Umat agenda haram, PAS diam.  PAS tutup cerita pasal larangan berhibur di bulan puasa di Kedah.  PAS tutup cerita pasal isu murtad yang berleluasa.  Semua berpunca daripada ketiadaan satu ideologi yang sehaluan - yang digadaikan adalah nasib bangsa dan agama.

Lebih malang, demi kuasa, pembangkang ligat menanam benih prejudis yang menghalang orang Melayu untuk bercakap dan memperjuangkan kepentingan bangsa secara terbuka.  Jatidiri Melayu mereka hakis.  Kecintaan kepada bangsa mereka kikis.  Sehingga mewujudkan persekitaran yang menyebabkan segelintir berasa janggal untuk menzahirkan semangat dan jatidiri mereka sebagai anak Melayu.  PAS dan PKR masih sanggup bersekongkol dan hanya mendiamkan diri melihat orang Melayu di Pulau Pinang diasak dan dipijak-pijak oleh DAP.  Hari ini, menjadi orang Melayu di Pulau Pinang, tak ubah seperti merempat di bumi sendiri.  Bukan sekadar jatidiri Melayu hancur, warna kulit kita pun dah dipersenda.  Mana mungkin DAP bukan parti rasis setelah menghina warna kulit YAB Menteri Besar Perak.  Mana mungkin saya tak terasa, warna kulit saya pun serupa.  Malah, selama ribuan tahun di seluruh dunia, warna kulit telah menjadi simbol penindasan, dan dengan sewenang-wenangnya mereka lontarkan kenyataan rasis sebegitu.

Barangkali PKR sudah mula sedar bahawa sokongan Melayu terhadap mereka semakin pudar.  Orang Melayu sudah sedar bahawa PKR tidak mampu memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa kita.  Lantas semasa Kongres PKR yang berlangsung baru-baru ini, mereka tampak begitu kemaruk kuasa dan terdesak sehingga menuntut kita meminda perlembagaan persekutuan agar menjamin hanya orang Melayu yang boleh menjadi Perdana Menteri.

Mereka merayu kepada UMNO meminda perlembagaan tidak lain tidak bukan kerana PKR khuatir sekiranya Pakatan pembangkang menang kelak, yang menjadi Perdana Menteri bukannya dari parti PKR mahupun PAS.  Mereka gusar dengan kuasa DAP yang tampil lebih mendominasi, lebih berkuasa dalam pakatan pembangkang dan terpaksa menggunakan UMNO sebagai jalan belakang, jalan penyelamat.

Tindakan ini menampakkan rasa saling curiga sesama pembangkang sehingga membuatkan PKR terpaksa meminta UMNO untuk membuat sesuatu yang boleh selamatkan mereka.  Barisan Nasional tidak perlu kepada pindaan perlembagaan ini kerana kita menaruh penuh keyakinan pada sistem muhibbah sedia ada serta semangat muafakat di kalangan ahli komponen BN.  Kita percaya UMNO mampu menawarkan kepimpinan kepada seluruh rakyat Malaysia.  Kita yakin tanpa peruntukan dalam perlembagaan pun, rakyat Malaysia keseluruhannya tetap menyokong kepimpinan Melayu yang adil kepada semua.  Ini jatidiri kita dalam UMNO yang bangga dengan kemampuan bangsa sendiri untuk terus memimpin negara.  Tapi tanpa jatidiri utuh, PKR berpeluh.  Terhegeh-hegeh minta UMNO pula pinda perlembagaan kerana tidak mampu mengatasi kuasa DAP merampas takhta Kerajaan sekiranya nauzubillah mereka menang. 

Ketaatan PAS dan PKR terhadap kerakusan DAP ini nyata tidak bertepi.  Inilah masalahnya, apabila jatidiri bangsa runtuh dan musnah.  Maka, agama dan bangsa akan menjadi mangsa kelima pakatan jahanam.

Keenam: Menjahanamkan kemakmuran ekonomi negara

JAWAB: BUKANKAH UMNO YANG HANCURKAN EKONOMI NEGARA ? DENGAN MENGAMALKAN RASUAH DAN SISTEM TENDER KERAJAAN ?

Dalam mengupas kesejahteraan ekonomi, pembangkang mengapung-apungkan kononnya mereka sebuah kerajaan yang bersedia memberikan segala-galanya secara percuma kepada rakyat.  Saya teringat akan satu pesan bidalan lama - yang manis jangan segera ditelan, yang pahit jangan segera dibuang.  Inilah formula Pakatan pembangkang.  Janji manis, pendekatan populis, negara muflis.

Kajian kita mendapati bahawa sekiranya janji-janji manis dalam Buku Jingga dilaksanakan, Malaysia akan bankrap seperti Greece dalam tempoh hanya 2 tahun.  Mana tidaknya, untuk mengotakan sebahagian janji manis kebajikan mereka, hutang Kerajaan akan mencecah RM617 bilion pada tahun kedua sahaja.  Maka kita akan mempunyai tidak lebih daripada setahun untuk bersorak-sorai meraikan kenikmatan sementara kehidupan percuma, sebelum terpaksa meratib penuh sesal kemusnahan ekonomi negara untuk beberapa generasi selepas itu.  Biarpun terdapat analisis yang menunjukkan kelemahan pendekatan sebegini, pembangkang tidak peduli.  Yang penting, mereka mampu memancing undi.  Jika mengikut pembangkang, negara akhirnya terpaksa melukut di tepi gantang - menagih bantuan daripada agensi seperti IMF.  Kita tahu sejarah Anwar yang rapat dengan IMF dan beliau rela menjadi pak sanggup mengheret negara kepada tuntutan luar demi kuasa.  Inilah masalahnya orang yang suka melalak.  Berteriak pandai, berfikir tidak.  Kuman seberang laut mereka nampak.  Gajah depan mata mereka sepak.  Pendek kata, kemakmuran ekonomi negara akan menjadi mangsa keenam, pakatan jahanam.

Awan datang lindungi bulan
Malam pekat sunyi rasa
Politik pembangkang sarat kebencian
Hasut rakyat demi kuasa

Dentam-dentum atas permatang
Orang mengemping padi muda
Melayu terpinggir di Pulau Pinang
Air Kelantan tak bersih jua

Tunggul kecil di tengah huma
Buat tanda antara sempadan
Biar apapun pembangkang cuba
Putrajaya tetap Pemuda pertahankan

Para perwakilan sekalian,

Jangan sekali-kali kita lalai, leka dan alpa.  Jangan kita dibuai kegemilangan silam.  Cabaran yang bakal kita hadapi pada PRU-13 ini merupakan yang paling sengit dalam sejarah pilihanraya.  Inilah masa dan ketikanya Pemuda UMNO bangun untuk melakar kesinambungan perjuangan yang murni ini.

Pemuda yang ada pada hari ini, seperti mereka yang terdahulu, tidak mungkin lari dari medan perang.  Kita tahu betapa pentingnya perjuangan ini demi masa hadapan anak bangsa.  Saya yakin dan percaya setiap ahli Pemuda yang ada pada hari ini takkan gentar untuk menghadapi armada perang musuh dan berjuang bersama-sama pucuk pimpinan.  Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.  Biar patah dahan berpaut, biar retak lantai berpijak, musuh datang pemuda tak takut, apa dugaan takkan berganjak. 

Akhirul kalam, saya akhiri ucapan ini dengan satu sajak yang didedikasikan kepada kita semua semoga menjadi azimat untuk kita bersedia menghadapi cabaran yang paling getir dalam sejarah parti keramat kita.
*Teks di atas disedut dari ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin (gambar kiri) sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, berjudul "Memacu Generasi, Melakar Transformasi".
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.