Anwar_Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim 
 
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan salah seorang pengawal peribadi Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengacukan pistolnya ke arah orang ramai ketika insiden menghalang bas PKR Jelajah Merdeka Rakyat di Jasin, Melaka semalam.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pengawal yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan Anwar tidak mengacukan senjata tersebut ke arah orang ramai sebagaimana dilaporkan beberapa media hari ini.


"Pengawal yang ditugaskan tidak mengacu senjata api terhadap orang ramai.


“Sebaliknya, apa yang dilakukan adalah mengeluarkan senjata api dan menghalakan muncung pistol  ke tanah, di bawah paras pinggang," kata beliau yang juga Ketua PKR Jasin.


Tambah beliau, tindakan yang dilakukan oleh pengawal terbabit mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), yang akan dilakukan oleh mana-mana pengawal keselamatan untuk memberi amaran kepada orang ramai supaya beredar dan tiada gangguan ke atas pihak yang dijaganya, dalam kes ini Anwar.


"Apa yang saya dengar daripada pengawal terbabit, dia berkata kepada semua orang ramai untuk bersurai dan jangan ada yang menggangu," tambah beliau.


Sebaik sahaja kejadian terbabit, beberapa anggota polis yang berpakaian preman menyerbu ke arah pengawal terbabit dan merampas senjata itu daripada lelaki tersebut, ujar Shamsul Iskandar.


Tambah beliau, satu laporan polis akan dibuat mengenai perkara tersebut hari ini.


Sinar Harian Online difahamkan pengawal keselamatan telah diambil keterangan semalam dan dilepaskan malam tadi.


Laporan media hari ini menyebut polis menahan lelaki yang ditugaskan untuk mengawal Anwar selepas mengacukan senjata api ke arah orang ramai  di Kampung Baru Rim, Jasin petang semalam.


Dalam kejadian jam 3.15 petang, lelaki berusia 37 tahun, yang  menaiki Toyota Camry, dipercayai berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol selepas sekumpulan lelaki cuba menghalang bas dinaiki Anwar ke satu majlis di kampung tersebut.


Siasatan polis menunjukkan senjata api itu milik syarikat keselamatan dan pegawai terbabit dibenarkan membawanya ketika bertugas.


AKAN MENYUSUL