Pas yakin isu Nasha-Karpal boleh diselesai
Tuan Ibrahim Tuan Man
 
MACHANG - Pas menyifatkan pertelagahan antara bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa dan Pengerusi DAP, Karpal Singh  berhubung isu hudud sehingga dibawa ke mahkamah lebih bersifat peribadi.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak parti yakin perkara itu akan diselesaikan sebaik mungkin biarpun ia dibawa ke mahkamah.


“Oleh sebab mereka lebih suka membawa ke mahkamah, maka kita anggap ia sebagai urusan peribadi dan  kalau boleh selesai di mahkamah... mahkamahlah.


“Bagaimanapun,  kami yakin ia akan dapat diselesaikan melalui rundingan yang dipilih mereka,” katanya kepada pemberita selepas ceramah umum sempena Himpunan Hijau ke Putrajaya di sini.


Turut hadir dalam majlis itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Nasharudin dalam kenyataan terbaru kelmarin menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kepada Karpal berhubung dakwaan membabitkan pemimpin DAP itu sebelum ini dan bersedia bertemu di mahkamah.


Malah, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, beliau tidak akan menarik balik kenyataan dibuat berhubung gesaan supaya Pas mengkaji semula kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang serta pelaksanaan hukum hudud yang menimbulkan rasa kurang senang Karpal.


Ditanya masa depan Nasharudin dalam Pas, Tuan Ibrahim berkata, Pas berpegang keputusan Majlis Syura Ulama yang menetapkan pemimpin itu tetap bersama dalam perjuangan parti tersebut.


Tuan Ibrahim mengakui peranan Majlis Syura Ulama berbeza dengan jawatankuasa disiplin namun, secara kebiasaan seluruh jentera parti akur dengan segala keputusan majlis itu.


“Bagaimanapun, buat masa sekarang, tumpuan akan diberikan kepada Pilihan Raya Umum  ke-13 ( PRU13) berbanding membincangkan isu-isu dalaman yang sengaja digembar-gemburkan," katanya.