Azmi Hasan
Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hasan.
 
SHAH ALAM – Penganalisis politik meramalkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa akan dikekalkan sebagai ahli biasa demi kepentingan parti kerana beliau diketahui mempunyai penyokong akar umbi yang kuat.

Keputusan mengekalkan beliau akan dibuat walaupun ramai melihat Ahli Parlimen Bachok dilihat seperti ‘duri dalam daging’ apabila mengeluarkan beberapa kenyataan bertentangan dengan dasar parti.

Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hasan berkata, Nasharudin tidak boleh dipecat secara drastik kerana pemimpin Pas sedar tindakan itu akan menggoncangkan akar umbi yang masih menyokong perjuangan Nasharudin.

Menurutnya, pimpinan Pas perlu memujuk Nasharudin untuk kembali kepada parti itu kerana ia akan memberikan impak positif.

“Sekiranya Nasharudin digugurkan dan diberikan keahlian biasa, ia akan memberikan impak negatif kepada parti itu sendiri. Pas sepatutnya memberikan kedudukan yang baik kepada Nasharudin kerana kepimpinannya dan popularitinya di kalangan ahli Pas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azmi mendakwa, kelompok Pas yang digelar Anwarinas juga dilihat sering beri tekanan kepada kedudukan Nasharudin dan Majlis Syura perlu bertindak bijak dengan memberikan keadilan kepada kelompok ulama dan Anwarinas.

“Lazimnya, dalam isu ini, menurunkannya sebagai ahli biasa akan dilakukan, ia demi  kepuasan kepada kelompok ulama dan Anwarinas dalam Pas. Itu strategi.

“Namun, Pas perlu pujuk dan kembalikan martabat Nasharudin  untuk kepentingan parti,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat pula berkata, Pas tidak akan pecat Nasharudin seperti mana yang dilakukan terhadap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Menurutnya, Nasharudin akan dikekalkan keahlian biasa, tetapi tidak menjadi calon  bertanding dalam pilihan raya akan datang serta tidak memegang sebarang jawatan lagi dalam kepimpinan Pas.

“Itu tindakan selamat. Beliau tidak akan dilucutkan keahliannya walaupun isu yang dibawa tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan yang dilihat memberikan liabiliti kepada Pas, terutamanya dalam hal mengekalkan hubungan dalam PR,” katanya.

Beliau berkata, jika dilucutkan ia akan memberikan tamparan kedua kepada Pas kerana ahli Pas akan melihat siapa pula pemimpin Pas ketiga yang akan dipecat selepas parti itu bersama PR.

“Kebijaksanaan Pas penting untuk menentukan nasib Nasharudin kerana berkemungkinan besar Pas mendapat tekanan DAP. Jika Pas tidak mengeluarkan Nasharudin, DAP tidak akan berpuas hati,” katanya.

Rakyat terutamanya penyokong Pas akan tertumpu kepada keputusan nasib Nasharudin yang akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama Pas yang dijadualkan bersidang malam ini.