• Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
1 / 1
KOTA BHARU - Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu berkata kemenangan besar parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) Dun‎ Chempaka disebabkan tiada saingan dari parti besar seperti Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata kemenangan itu juga menunjukkan sokongan berterusan pengundi kepada Pas walaupun setelah ketiadaan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, penyandang kerusi Dun itu.
"Pas bersyukur kerana mendapat majoriti yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRK Dun tersebut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa di sini, malam ini.

Pas berjaya mengekalkan kerusi Dun Chempaka apabila calonnya Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad mengalahkan empat calon bebas, dengan majoriti 10,092 undi.  

Sementara itu, Ahmad Fathan berkata beliau tidak menjangka mendapat kemenangan dengan majoriti yang besar.

"Alhamdulillah syukur kepada Allah swt, doakan saya dapat menjalankan tugas sebaik mungkin untuk rakyat," katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan besar bagi parti tersebut. - Bernama
    ‎