• Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob Datuk Ahmad Yaakob
1 / 1
KOTA BHARU - Penerangan mengenai Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 akan diberikan kepada rakyat Kelantan termasuk bagi bukan Islam sekiranya enakmen berkenaan diwartakan selepas ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, undang-undang berkenaan tidak terikat dengan orang bukan Islam.

"Kita akan buat penjelasan kepada orang bukan Islam di Kelantan agar mereka jelas dan tiada kaitan dengan Kanun Jenayah ini.

"Setelah diwartakan, penerangan memang sudah jadi kewajipan kita dan penjelasan akan dibuat selepas dibentangkan di Parlimen," katanya kepada pemberita semasa melawat pusat membuang undi Sekolah Kebangsaan Parang Puting bagi PRK Dun Chempaka, pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas mengulas saranan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed kelmarin yang mahu penjelasan mengenai hudud dilakukan kepada masyarakat.

Ahmad berkata, undang-undang berkenaan adalah untuk memberi kesedaran serta mendidik masyarakat.

“Perkara ini jelas, undang-undang ini bertujuan untuk mendidik dan bukan untuk menghukum semata-mata," katanya.