• Anthony Loke Anthony Loke
1 / 1
KUALA LUMPUR - Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook hari ini mendedahkan bukti pengkhianatan pemimpin tertinggi Pas apabila wujudnya surat permohonan untuk membawa Rang Undang-undang Persendirian (RUU) ke sidang Dewan Rakyat kali ini.

Beliau mendakwa surat yang ditandatangani Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu telah dikemukakan kepada setiausaha Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu bagi membolehkan RUU mengenai bidang kuasa mahkamah syariah itu dibentangkan di Parlimen.

"Hari ini saya ingin mengemukakan satu bukti bahawa presiden Pas itu telah mengemukakan satu usul Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk mencadangkan RUU kepada Parlimen.

"Surat ini telah dihantar pada 18 Mac lalu pada jam 4.48 petang kepada setiausaha Dewan Rakyat, iaitu hari yang sama semasa Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban mempersoalkan tindakan Abdul Hadi itu yang jelas melanggari keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari lalu.

Katanya, mengikut keputusan mesyuarat itu, sebarang pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dan Usul Persendirian hendaklah dibentangkan kepada Majlis Pimpinan PR untuk dibincangkan.

"Ini adalah janji Abdul Hadi sendiri pada mesyuarat 8 Mac lalu, walaupun kita ada mesyuarat 12 Mac lalu, namun Pas hanya bentang draf enakmen hukum hudud, walaupun kita tidak bersetuju namun Pas tetap bentangkannya juga.

"Sebaliknya RUU itu tidak pernah dibentangkan (oleh Pas), jadi sekarang ini bukti jelas bahawa Abdul Hadi telah membentangkan RUU itu tanpa mengikuti keputusan yang telah dicapai," katanya.