• hudud
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Pas tidak dapat menghalang rakan-rakan PR terutama DAP daripada terus menentang pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan parti itu.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani memberitahu, Pas tidak akan tunduk dengan tekanan yang cuba dicetuskan DAP.

Menurutnya, pelaksanaan perundangan syariah Islam itu merupakan perjuangan yang sekian lama dilaung-laungkan Pas dan diketahui DAP sejak dahulu.

“Dalam hudud kita tidak boleh toleransi dan sudah berpuluh-puluh tahun kita perjuangkan. Ini bukan perkara main-main tetapi wajib beri keamanan kepada Islam dan bukan Islam,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sidang Dun Kelantan yang berakhir Khamis lalu penuh bersejarah apabila kesemua 44 Adun merangkumi 31 Adun Pas, 12 BN dan seorang wakil PKR sebulat suara menyokong pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015).
Setelah mendapat kelulusan pindaan 19 Mac lalu, Kerajaan Kelantan hanya tinggal setapak sahaja lagi bagi merealisasikan pelaksanaan enakmen tersebut yang membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.

Pelaksanaan tersebut kini bergantung 100 peratus kepada kelulusan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen yang dijangka dibawa dalam masa terdekat bagi meminda Akta 355 untuk membolehkan pelaksanaan hukuman tersebut dijalankan.

Bagaimanapun, tindakan Kerajaan Kelantan itu mendapat respons kurang menyenangkan daripada rakan-rakan PR termasuk PKR dan DAP, apabila ia dikatakan bertentangan dengan muafakat bersama yang dicapai pada 2011.

Mengulas perkembangan sama, Azman berkata Pas tidak mampu menolak sebarang keputusan daripada rakan-rakan PR termasuk tindakan yang lebih hebat iaitu dikeluarkan daripada pakatan.

“Jika berlaku (berpecah daripada PR), kita tidak boleh buat apa-apa kerana dalam isu hudud, kita tidak akan tunduk pada pihak lain berhubung batas-batas agama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis bahawa sokongan terhadap PR akan bertambah kukuh jika Kelantan berjaya melaksanakan hudud.
“Macam DAP sendiri, mereka tidak begitu mendapat tempat di kalangan orang Melayu dan jika hudud dilaksanakan, sudah tentu ia akan menarik lebih ramai pengundi termasuk sokongan tenaga Pas di peringkat bawah,” katanya.