• Lim Kit Siang Lim Kit Siang - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
1 / 1
KUALA LUMPUR - Hala tuju kerjasama politik antara DAP dan Pas hanya akan diketahui selepas dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu, malam ini.
 
Demikian kata penasihatnya, Lim Kit Siang sambil menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kepimpinan tertinggi DAP sama ada mengkaji semula kerjasama politik atau mengambil tindakan tegas di atas pengkhianat Pas dalam isu hudud.
 
"Kita harap PR akan kekal seperti sedia ada, apa yang berlaku sebelum ini, ia perlu diselesaikan segera.
 
"Isu itu (tindakan terhadap Pas) akan diputuskan dalam mesyuarat CEC DAP, malam ini," katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan yang sewajarnya dikenakan terhadap Pas apabila presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa mengemukakan surat usul Rang Undang-undang Persendirian (RUU) kepada setiausaha Dewan Rakyat tanpa pengetahuan Majlis Pimpinan PR, pada 18 Mac lalu.
 
Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke hari ini yang mendakwa tindakan Abdul Hadi itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 8 Februari dan 12 Mac lalu.
 
Menurut Anthony, mengikut keputusan mesyuarat itu, sebarang pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 dan Usul Persendirian hendaklah dibentangkan kepada Majlis Pimpinan PR untuk dibincangkan.