• Pusat Mengundi Pengundi-pengundi membuat semakan daftar pemilih sebelum membuang undi pada Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka di Sekolah Kebangsaan Parang Puting hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
KOTA BHARU - Sembilan pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka ditutup 5 petang ini.

Sembilan pusat berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, SK Sabak, SK Parang Puting, SK Kem, SK Che Deris, SK Seri Chempaka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, SMK Pengkalan Chepa, dan Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri Chempaka.

Kesemua pusat pengundian itu dibuka mulai pukul 8 pagi ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), keputusan rasmi PRK itu dijangka diumumkan 9.30 malam ini.

PRK Dun Chempaka menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon Pas dan empat calon Bebas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan PRK Dun Chempaka 9.30 malam ini]

Pas diwakili Ketua Urusan Ulama Pas Dun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59, Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, dan ahli perniagaan Aslah Mamat, 64.

PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, pada 12 Februari lepas.

BN tidak bertanding pada PRK ini bagi memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember lepas. - Bernama