• Iskandar Abdul Samad Iskandar Abdul Samad
1 / 1
SHAH ALAM - Pas Selangor tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli-ahlinya di negeri ini agar mencalonkan hanya golongan ulama semata-mata dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung pada Jun akan datang.
 
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad  berkata, pihaknya menyerahkan kepada ahli Pas di peringkat kawasan masing-masing untuk mencalonkan individu yang layak  memimpin parti itu.
 
“Kita (Pas Selangor) sejak dahulu tidak keluarkan arahan atau ketetapan mengenai pemilihan parti. Hal ini terpulang kepada mereka untuk menentukan calon yang layak untuk memimpin parti.
 
“Namun, kepimpinan ulama adalah dasar serta prinsip Pas sejak sekian lama dan ia perlu diteruskan. Pas sebagai sebuah parti yang turut melibatkan soal dakwah, tarbiah dan politik adalah lebih sesuai dikemudi oleh kepimpinan ulama,” katanya ketika ditemui selepas sesi pendengaran awam Jawatankuasa  Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung Penyelenggaraan dan Pemantauan Perumahan Selangor di sini, semalam.
 
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menegaskan seluruh kepemimpinan Pas akan mempertahankan kedudukan Presiden, Abdul Hadi daripada digulingkan.
 
Malah, Mustafa turut memberi jaminan bahawa tidak akan ada mana-mana pemimpin dalam kalangan parti itu sanggup mencabar Abdul Hadi untuk jawatan Presiden pada pemilihan kelak.
 
Dalam pada itu, Iskandar secara peribadi menolak pencalonan daripada mana-mana pemimpin Pas yang terlibat dalam Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).
 
“Secara peribadi saya tolak (pencalonan anggota Pasma bertanding jawatan tertinggi Pas). Sebelum ini telah ada arahan yang jelas kepada ahli-ahli Pas berhubung dengan Pasma ini,” katanya.