• Muhyiddin Yassin 
  •  Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
1 / 1
MUAR - Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) akan membincangkan dua pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi dan satu keputusan akan dibuat oleh pengerusi BN, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata BN akan membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan.


Beliau ditanya untuk mengulas pilihan raya kecil yang dijadualkan pada 25 Mei untuk kerusi Parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang berikutan kematian Anggota Parlimen kawasan itu yang juga bekas pengerusi DAP Karpal Singh, dalam satu kemalangan pada 17 April.


Satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, Perak berikutan kematian Anggota Parlimen kawasan itu, Seah Leong Peng dari DAP akibat kanser pada 1 Mei.


Ketika ditanya sama ada BN akan membincangkan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Bukit Gelugor, Muhyiddin berkata: "Itu tak tahulah, jangan buat ramalan".


Berhubung cadangan MCA menyenarai pendek tiga nama calon bagi pilihan raya kecil Bukit Gelugor, Muhyiddin berkata BN sentiasa menghormati dan mengambil kira cadangan parti-parti komponen.


Bagaimanapun, keputusan muktamad akan diputuskan pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Bagi pilihan raya kecil Teluk Intan, Muhyiddin berkata BN akan membuat persiapan sambil menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung tarikh pilihan raya.


Terdahulu, timbalan perdana menteri sempat beramah mesra dengan penduduk Kampung Masyarakat Jasa di sini.


Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Jorak Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh.


Sementara itu, Muhyiddin turut menziarah bekas Imam masjid kampung Jawa, Lenga, Markusin Tarimin, 85, serta beramah mesra dengan masyarakat setempat. Beliau kemudiannya merasmikan Pusat Sumber Ilmu dan Gelanggang Futsal Kampung Parit Tunggol serta menyampaikan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.


Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh juga meninjau tapak medan selera dengan kos RM1.4 juta yang bakal dibina di Pekan Pagoh sebagai satu daripada usaha Majlis Perbandaran Muar (MPM) untuk menaik taraf pekan itu.


Dalam taklimatnya, Yang Dipertua MPM Ramlee A Rahman berkata projek di atas tanah seluas 0.4 hektar di sebelah Balai Raya Pagoh itu, akan memulakan pembinaannya pada suku akhir tahun ini.


"Medan selera ini akan mempunyai 15 buah gerai bagi menempatkan pengusaha-pengusaha gerai makanan yang berselerak di tepi-tepi jalan dan berhadapan bangunan komersial di pekan ini," katanya kepada pemberita selepas tinjauan Muhyiddin ke tapak itu dekat sini.


Ramlee berkata, peruntukan kira-kira RM600,000 pula akan digunakan untuk projek pengindahan dan menambah baik sistem pencahayaan pekan Pagoh. - Bernama