• Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Muhammad Nasir Hamzah (empat dari kiri) bersama delegasi dari Palestin di Kompleks Karangkraf, hari ini. Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Muhammad Nasir Hamzah (empat dari kiri) bersama delegasi dari Palestin di Kompleks Karangkraf, hari ini.
1 / 1
SHAH ALAM – Tiada pemimpin Islam dunia yang berani menegur Israel atas tindakan tidak berperikemanusiaan di bumi Palestin.

Demikian luahan hati Ketua Pertubuhan Al-Aqsa dalam menjaga Kebajikan, Dr Kamil Rayyan.

Beliau bersama delegasi Palestin lain tiba di Malaysia, semalam.

 Mewakili rakyat Palestin, beliau berharap seluruh dunia dapat memainkan peranan sama ada dengan memberi pandangan mahupun menegur Israel.

“Apa yang diharapkan hari ini ialah seluruh dunia memainkan peranan. Beri pandangan dan teguran kepada Israel. Tidaklah sampai Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menghantar tentera tetapi tidak ada sebarang kata-kata, teguran ataupun amaran dibuat kepada Israel.

“Saya merasa sangat pelik bagaimana umat Islam di seluruh dunia boleh tidur nyenyak sedangkan ada seorang lelaki tua yang lemah tidur di pinggiran masjid Al-Aqsa dan tidak mempunyai tempat tinggal,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurutnya, bukan bertujuan untuk meminta-minta namun mahu umat Islam seluruh dunia memainkan peranan.

“Usaha kami sejak akhir-akhir ini adalah untuk keluar ke peringkat antarabangsa bertemu dengan negara-negara Arab dan negara-negara Islam untuk menyampaikan mesej kepada semua bahawa ini bukan isu rakyat Palestin semata-mata tetapi seluruh umat Islam.

“Tetapi kelengkapan, persediaan serta keperluan untuk kami tetap berada di bumi Palestin adalah tanggungjawab umat Islam di luar Palestin.

“Kami bukan menghulur tangan kami untuk meminta-minta tetapi kami mahukan supaya umat Islam seluruhnya memainkan peranan dan tanggungjawab kepada perjuangan rakyat Palestin yang sedang mempertahankan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Harakat Islamiah Palestin 1948, Dr Hammad Abu Bakar berkata penggulingan terhadap Presiden Mesir Mohamed Mursi memberi kesan kepada pembebasan Palestin.

“Ketika pentadbiran Mohamed Mursi sebenarnya rakyat Palestin secara umum telah beri harapan yang tinggi kepada kerajaan Mesir untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Apa yang terjadi kepada Mursi telah mengubah keadaan Mesir itu sendiri terpisah dan disibukkan dengan krisis dalaman malah tidak dapat memainkan peranannya terhadap Palestin,” katanya.